Saturday 16 April 2016

Misi Backpack ke Hatyai

Maaf, sebab terlewat update pasal trip bajet ni. Itupun atas permintaan ramai sebab masing-masing minta itinerary. Padahal, saya pergi trip biasa-biasa je. Sekadar jalan-jalan makan angin melihat tempat orang. Jadi, jangan fikir saya pergi honeymoon ya. Ni trip bajet paling cabuk punya.

***

"Jom backpack! Bosan sejak balik Malaysia, stress kerja. Tak ada life!" - Syafiqah

"Jom! Kita lihat tempat orang. Nak keluar dari zon selesa."

Maka, pada tanggal 30 Januari yang lalu saya dan rakan, Syafiqah telah memulakan perjalanan dalam misi backpack ke Hat Yai. Tak banyak yang kami kaji, cukup sekadar lawatan ke beberapa tempat memandangkan masa kami di sana tidak lama.

Saya dan Syafiqah pada mulanya merancang untuk travel menaiki keretapi ke Perlis. Nak buat Road To Perlis, konon tribute Pasport Ekspres haha. Tapi tak jadi. Bila dirancang-rancang, akhirnya kami menukar niat dan melajakkan trip hingga ke Hat Yai. Memandangkan Syafiqah baru saja pulang ke Malaysia setelah setahun melanjutkan pelajaran di Seafield dan berpengalaman backpacking ke Eropah sendirian, saya jadi tidak teragak-agak untuk terus bersetuju dengan cadangan itu sebelum pasport tamat tempoh pada Mei 2016.

Kami pergi dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pulang dengan menaiki bas. Tiket keretapi sehala berharga RM46 untuk kerusi Superior Class, Exspress Peninsular. Tidak termasuk caj perbankan internet RM4. Manakala tiket bas pula berharga RM65, bas Alisan. Bagus bas ni, kerusi empuk. Sesuai untuk perjalanan jauh. Boleh tempah tiket di http://alisangoldencoach.com.my/. Pada mulanya, kami nak beli tiket keretapi yang tidur atas katil, tapi tempah lambat jadi tiket dah sold out. Untuk pengetahuan semua, kalau nak beli tiket keretapi kena booking sebulan sebelum perjalanan. KTMB hanya akan buka tempahan sebulan sebelum tarikh perjalanan. Kalau lambat biasanya tiket habis lebih-lebih lagi katil.

Tiket keretapi Express Peninsular

Tiket bas Alisan Exspress
Di sini saya ingin kongsikan itinerary perjalanan kami dari mula iaitu di KL Sentral dan berakhir juga di tempat yang sama.

Jumaat, 30 Januari 2016

Saya tiba di KL Sentral kira-kira jam 11.00 malam. Keretapi tiba 25 minit lewat dari masa yang dijanjikan iaitu 12.15 minit pagi. Sementara tu, kami berbua-bual mengenai perkembangan terkini masing-masing. Memandangkan Fiq baru pulang dari UK, jadi banyaklah soalan yang hendak ditanya, hehe. Sebelum tu, kami sempat membeli beberapa bungkus roti dan air mineral untuk bekalan sepanjang perjalanan di dalam keretapi. Khabarnya, harga makanan di dalam keretapi agak mahal. Jadi, anda dinasihatkan untuk makan siap-siap atau bawa bekalan makanan secukupnya. Di dalam beg saya sebenarnya sudahpun tersedia dengan roti, biskut, mee segera dan air mineral. Fiq cakap, di sana nanti kita makan mee segera je, jimat. Beg besar penuh dengan makanan je! 

Duit saya dah tukar siap-siap di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi, RM150 bersamaan THB1200. Nak senang kira, 8 Bath lebih kurang seringgit la. 

Sabtu, 31 Januari 2016
00:40

Alhamdulillah, keretapi pun tiba. Lama juga saya tidak menaiki keretapi untuk perjalanan jauh. Kali terakhir adalah pada tahun 2008 ketika masih menuntut di UiTM Merbok, Kedah. Sekali dengan ETS menuju ke Ipoh pada tahun 2013. Kami sambung berbual-bual sehingga masing-masing akhirnya tertidur.

Teringat perbualan saya dengan Fiq,

"Mesti bestkan study kat UK?"
"Sama je kak, bumi mana pun kita pergi sebenarnya sama je."

Saya terdiam. Sama? Kemudian saya berfikir. Ya, bumi Allah ni luas, ke mana saja kita pergi sebenarnya sama je. Peredaran waktu tetap 24 jam sehari. Siang dan malam tetap terjadi. Bangun waktu pagi, tidur waktu malam, solat lima waktu semua, berpuasa, beraya tu tetap berlaku dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. Fiq tidak sebut tantang bestnya duduk sana sebab ada salji ke atau apa. Ya, bersyukurlah di mana saja kau berpijak nak!

06.15

Sebenarnya, saya tidak begitu selesa tidur di dalam keretapi lebih-lebih lagi seat yang agak keras. Jadi, saya kerap terjaga, lihat jam. Terjaga, lihat jam. Sehingga masuk waktu subuh, saya mengambil wuduk di tandas kecil yang disediakan dan menunaikan solat subuh secara duduk. Seperti jangkaan, keretapi di Malaysia ni memang perlahan. Jam 7.54 baru masuk Kedah. Sempat saya mengambil beberapa keping gambar sunrise.


Untuk perjalanan ke utara, keretapi akan berhenti di beberapa stesen terpilih. Banyak juga sebenarnya. Sebab tu lambat. Tapi kerana mahukan pengalaman dan merasai suasana kampung dan hutan, kami gagahkan juga menaiki keretapi. Rindu mula berputik saat keretapi berhenti di stesen keretapi Sungai Petani. Dapat lihat dari dalam keretapi pun sudah cukup!

Keretapi terus meluncur laju adakalanya perlahan dan berhenti di stesen tertentu untuk menurunkan dan mengambil penumpang.

08:00

Kira-kira jam lapan pagi, kami bergerak ke ke kantin mini yang disediakan di dalam keretapi. Sempat mencicip secawan kopi dan makan sebungkus biskut Tiger sambil menikmati suasana pagi sepanjang perjalanan menuju ke utara negeri Kedah. Ramai juga bersarapan di kantin, melepaskan lelah sakit badan barangkali.

Mata dihidangkan dengan pemandangan sawah padi yang terbentang luas. MasyaAllah!





11.15
Bukit Kayu Hitam

Keretapi akhirnya tiba di stesen Bukit Kayu Hitam iaitu sempadan Malaysia-Thailand. Penumpang diarahkan turun untuk pemeriksaan pasport. Keretapi berhenti kurang lebih sejam sebelum memulakan semula perjalaan menuju ke Hatyai. Sempat la mengecas hand phone, check in lokasi dan mengemaskini status hehe.



12.30
Hatyai Train Station




Tiba di stesen terakhir kami iaitu Stesen Keretapi Hatyai. Alhamdulillah, kami dah sampai. Sejam lewat dari masa yang dijanjikan. Biasalah, naik keretapi bukan naik kapal terbang! 

Kami berjalan kaki menuju ke tempat penginapan kami iaitu di Cathay Guest House, kira-kira 15 mini perjalanan dari setesen keretapi. Sekadar ingin meletakkan beg yang berat dan sarat, membersihkan diri serta menunaikan solat jamak qasar fardu Zuhur/Asar. 

13:45

Selesai melepaskan lelah, kami keluar berjalan-jalan. Mujur di kaunter reception tempat penginapan kami ada disediakan peta bandaraya Hatyai. Di situlah kami membuat rujukan berkenaan lokasi dan jarak perjalanan.



14:00
Gim Yong Market

Lokasi pertama kami adalah Gim Yong Market. Kami berjalan kaki menuju ke Gim Yong Market kira-kira 20 minit perjalanan kaki. Gim Yong Market ni orang kata lebih kurang Pasar Siti Khadijah di Kelantan. Entah, saya pun tidak pernah sampai Pasar Siti Khadijah. Terdapat perlbagai jenis makanan, kerepek, jeruk, buah, pakaian, kasut, beg dan macam-macam lagi. Di sini terdapat banyak pasar, Yong Dee Market, Asia Market, Phaeng Thong Market dan lain-lain lagi. Hampir kesemua pasar di sini lebih kurang sama je jenis barang yang dijual. Tak terasa ingin membeli. Jadi, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Ini Syafiqah 

14:45
Prince of Songkla University

Kemudian kami mengambil Tuk Tuk untuk ke Prince of Songkla University. Pertama kali menaiki Tuk Tuk.


Saja nak melawat universiti orang. Tetapi malangnya, driver Tuk Tuk tu membawa kami ke tempat yang salah. Rupanya dia tak faham masa kami cakap nak ke situ. Ada ke dia bawa kami ke Tesco. Haha. Hmm, redha. Dengan Pak Cik Tuk Tuk ni korang kena peka sikit, dua kali juga kami terkena. Satu mungkin sebab dia tak faham English. Dua, mungkin sebab dah tua. Nanti kisah lagi satu ada cerita dekat bawah.


Kami berjalan keluar dari Tesco. Berjalan kaki sambil melihat peta. Rupanya, jarak dari Tesco untuk ke Prince of Songkla University tidak jauh. Kami meneruskan langkah dengan laju di bawah terik matahari sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Macam di Malaysia juga cuma yang bezanya sistem pendawaian elektriknya. Ya ampuunnn! Sangat mengerikan. Berselirat dan sangat (tidak) selamat mungkin. Wayar sampai jatuh ke atas jalan. Saya pernah terbaca mengenainya dulu di laman Facebook Backpackers Buddies Malaysia. Jadi, bila lihat di depan mata sendiri memang sangat terkejut. Kenapa tiada pihak kerajaan di sana membuat sistem pendawaian yang teratur? Atau penduduk di sana memang sudah terbiasa dengan sistem begitu?

Sebenarnya, tiada apa yang kami kejarkan ke universiti ini. Sekadar mahu melihat tempat belajar orang. Pada mulanya, kami bercadang untuk memasuki ke kawasan universiti dan melihat beberapa fakulti di situ, tetapi apabila mata terpandang mak guard sedang bercekak pinggang di hadapan pos pengawal, kami batalkan saja niat itu.




15.20
Hatyai Floating Market

Kemudian, kami mengambil Tuk Tuk sekali lagi untuk ke destinasi seterusnya iaitu Floating Market. Saya membayangkan floating market adalah sebuah pasar terapung sama seperti pasar-pasar terapung lain yang pernah saya saksikan di kaca television dan internet. Kita perlu meniki sampan untuk membeli belah, bertegur sapa di atas sampan, berurus niaga juga di atas sampan. Lalu, mendayung untuk ke gerai seterusnya. Tetapi, jangkaan saya sama sekali meleset. Menyesal tak study dulu pasal floating market di Hatyai. Memang betul pasar yang terapung, urusniaga juga di dalam sampan atas air, tetapi semua itu hanyalah sekadar di tepian cuma. Hahah! Kempunan saya untuk menaiki sampan dan membeli belah.

Kebanyakan peniaga sekadar menjual makanan dan minuman ringan dan pengunjung pula kelihatan seronok membeli belah. Rata-rata pengunjung adalah rakyat Malaysia, jadi tak hairan lah. Tak perlu susah untuk speaking bahasa Inggeris di sini, rata-rata peniaga boleh bercakap dalam bahasa Melayu walaupun tidak begitu fasih.



Berhampiran dengan floating market ini pula, terdapat pasar ala-ala up town di Malaysia. Sebelum turun ke area floating market, kami berehat sekejap melepaskan lelah dengan memesan mee rebus. Niat di hati nak makan pulut mangga yang sangat terkenal di Hatyai, tetapi tak jumpa mana tempat yang sedap.

Di sini terdapat banyak barang yang dijual dengan harga yang murah, antaranya pakaian, kain pasang, kerepek, aksesori dan lain-lain. Tempat terbaik untuk membeli-belah. Syafiqah sempat membeli beberapa helai T-Shirt bola yang sangat murah untuk adiknya.




Berjalan kira-kira seratus meter ke hadapan, kami ternampak ramai orang berkerumun di hadapan kuil Buddha. Terdapat seekor gajah di situ dan orang ramai berpeluang memberi makan kepada gajah tersebut. Gajah merupakan simbol haiwan suci bagi negara Thailand. Haiwan ini dianggap sebagai simbol kekuasaan, kemakmuran dan kesejahteraan. Jadi, saya dan Syafiqah tidak melepaskan peluang untuk memberi makan gajah tersebut. Dekat mulut gajah tu sedikit berlendir dan saya sedikit takut untuk memberi gajah tersebut makan tebu. Geli sebenarnya, tapi demi menghormati saya gagahkan juga tangan ini.


17:30
Asian Night Market

Seterusnya, kami memutuskan untuk ke pantai Songkla. Tetapi, driver Tuk Tuk menasihatkan kami agar tidak ke sana memandangkan masa yang sudah suntuk kerana perjalanan untuk ke sana memakan masa hampir sejam. Jadi, dengan hampa kami menyuruh driver Tuk Tuk membawa kami ke Asian Night Market.

Sebenarnya, Asian Night Market sangat meriah di waktu malam. Malangnya, kami tiba terllau awal dan hilang arah tuju. "Nak buat apa kat sini?"


18:45
Central Festival

Kami meneruskan perjalanan ke kawasan berdekatan. Berjalan-jalan dan melihat peta. Kita sangat hampir dengan Central Festival. Jadi, kami segerakan langkah ke pusat beli belah tersebut. Dalam perjalanan kami untuk ke sana, banyak motor yang berselisih dengan kami sambil horn dan ada yang memberhentikan kenderaan masing-masing sambil bertanya di dalam bahasa Thailand yang tidak kami fahami. Kami hanya menggelengkan kepala.

Rupanya mereka bertanya adakah kami mahu menumpang motor tersebut kerana mereka menyediakan servis membawa penumpang. Ada yang menaiki motor dengan dua orang menumpang. Terkejut kami melihat mereka membonceng bertiga tanpa memakai topi keledar. Tak kena saman ke? Bila melihat hampir kesemua penunggang motosikal begitu, kami jadi tidak hairan.

Dan perkara paling mengejutkan adalah apabila kami melangkah saja ke dalam kawasan Central Festival, nah! Lautan motosikal di tapak parkir di luar pusat beli belah tersebut. Jadi, saya anggap di sini, motor adalah pengangkutan utama bagi rakyat Hatyai. 




Semasa melangkah masuk ke dalam Central Festival, terdapat beberapa orang guard sedang terpacak berdiri menjalankan tugas. Setiap orang yang melalui pintu masuk itu termasuk kami, akan diperiksan dan discan terlebih dahulu. Macam nak masuk kapal terbang pula. Dalam hati saya terfikir, apa ada kes pengeboman di Hatyai ke? Begitu ketat kawalan keselamatan di pintu masuk shopping complex ni.

Beberapa minit di situ, kami rasakan ia sama seperti shopping complex di Malaysia, tiada apa yang istimewa. Saja jalan-jalan cuci mata. Jadi, kami cepat-cepat keluar dari situ.

Setelah penat berjalan, kami pulang ke bilik untuk berehat sebentar dan membersihkan diri. Kami bercadang untuk keluar semula selepas menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak. Pada mulanya, saya tak mahu keluar sebab teringat tentang pembacaan saya beberapa hari sebelum pergi Hatyai, katanya elakkan keluar malam sebab banyak jenayah berlaku di sekitar bandaraya Hatyai. Alang-alang menyeluk pekasam, saya dan Syafiqah keluar juga dengan izin Tuhan.

21.30
Night Hawkers

Kami tercari-cari pasar malam di Hatyai. Puas kami pusing-pusing akhirnya jumpa. Meriah juga Hatyai di malam hari, macam uptown Shah Alam gayanya. Meriah dengan rakyat Malaysia! Sana sini jumpa orang Melayu. Sama seperti pasar malam di KL, banyak jual makanan. Tapi kami bimbang untuk membeli makanan di situ, bimbang tidak bersih dan tidak halal. teringat pesan kakak, "Kat sana bersepah orang jual babi tepi jalan." Tapi tiada seekor babi golek pun yang saya jumpa.


Kami datang beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina, jadi malam sangat meriah dengan pertunjukan itu ini. Antaranya, pertunjukan motor berkuasa tinggi yang tak pernah saya lihat di Malaysia.

Setelah penat berjalan, kami pulang semula ke bilik. Penat dan tidur.

Ahad, 1 Februari 2016
09:00

Kami bersiap-siap check out hotel dan bersarapan makanan ringan di lobi (sekadar membancuh kopi 3in1 yang dibawa sendiri dari KL dan memesan air panas yang diberi percuma di kaunter reception dan makan beberapa buku roti sebagai alas perut). 

Destinasi kami pagi ini adalah menuju semula ke Gim Yong Market untuk membeli belah, sedikit buah tangan untuk dibawa pulang.



Kami berselisih dengan banyak tarian naga. Maklumlah, Tahun Baru Cina sudah hampir, mereka pun mahu praktis! Rata-rata penduduk Thailand beragama Buddha.




Selepas membeli belah, kami mengambil Tuk Tuk untuk ke stesen bas. Seperti yang tertera pada tiket bas, lokasinya adalah di Chee Uthit Road. Tetapi malangnya, pemandu Tuk Tuk membawa kami ke tempat yang salah. Beliau sebenarnya tak tahu di mana Chee Uthit Road, dia hanya tahu stesen bas Hatyai. Sudahlah jauh, dan kami perlu membayar tambang agak mahal. Kami bertanya, sama ada stesen bas itu di Chee Uthit Road atau tidak? Mungkin beliau tidak faham. Jadi, kami tukar Tuk Tuk sebab pemandu baru ni tahu Chee Uthit Road. Mujur kami ada banyak masa. Setibanya di destinasi yang tepat, barulah kami perasan yang Chee Uthit Road tu terletak di lorong belakang bilik hotel yang kami sewa. Sigh! Silap kami tak periksa dengan betul.


Senarai harga tambang Tuk Tuk
Sementara menunggu bas tiba jam 12:30, kami sempat memanaskan meggi cup untuk mengisi perut yang lapar dan penat. 


Bergambar kenangan dengan Syafiqah sebelum menaiki bas.
Kami menaiki bas pada jam 12:30 tengahari, dan sampai ke Terminal Bersepadu Selatan jam 11 malam.

Alhamdulillah, tamat sudah pengembaraan saya dan Syafiqah ke Hatyai. Inilah bajet kami yang tidak seberapa tetapi cukuplah untuk trip single hehe. Jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah RM281.00

Tiket keretapi: RM50
Tiket bas: RM65
Sewa bilik: RM16
Wang perbelanjaan: RM150 (termasuk tambang Tuk Tuk)

Sekian, catatan insan gelandangan di bumi Tuhan.

No comments: