Saturday 16 May 2015

Pasport Ekspres

Saya terjumpa filem pendek ini di salah satu tweet di laman Twitter. Klik gambar, dan terus masuk ke youtube untuk menonton videonya.

MasyaAllah, Perlis! Terus jatuh cinta.

Saya menonton sehingga tamat. Ulang sekali lagi dan lagi. Tiga kali. Kemudian, saya membuat sedikit research berkenaan filem pendek ini. Pertama sekali, pengarahnya. Kemudian pelakon, lokasi dan bahan cerita. Orang putih kata, perfect!

Sejak penghujung tahun lepas, entah macam mana saya tiba-tiba teringin untuk menaiki keretapi menuju utara Tanah Air. Teringat momen sewaktu belajar di Merbok dulu, pernah merasa dua kali menaiki keretapi. Itupun perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur. Teringin untuk melihat sekali lagi sawah padi dari dalam keretapi. 

Alhamdulillah saya ditemukan dengan Pasport Ekspres yang mana filem pendek itu adalah gambaran jiwa saya, keinginan yang saya nak. Yang telah dapat saya lihat, tapi belum dapat pergi. Saya buat research dengan dalam berkenaan filem pendek ini. Mengapa kebiasaannya filem pendek lebih baik kualiti dan pengisiannya daripada filem-filem panjang yang lain?

Filem pendek berdurasi 18 minit ini diterbitkan pada Ogos 2012. Menyesal sebab lambat sangat dapat tahu tentang filem ni. Tapi takpelah, better late than never. Filem pendek ini mengisahkan Ali (Iedil Putra), seorang pembikin filem yang suka berimaginasi tetapi mendapati dirinya kosong dan memerlukan hibernasi dan inspirasi. Kemudian, Ali mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Perlis dengan menaiki keretapi. Sewaktu dalam perjalanan, Ali bertemu dengan Umar Ghazi (Josiah Hogan) yang menaiki tren yang sama untuk ke Bangkok melalui Hatyai. Umar Ghazi merupakan seorang yang authentic dan gemar mengumpul barang lama. Sebelum tiba di Arau, Umar sedar yang dia kehilangan pasport dan tidak dapat melepasi sempadan Malaysia-Thailand. 

"Kau cari apa ni?"

"Pasport aku hilang!"

"Bro, kalau takde pasport kau tak boleh pass boarder. Lepas ni Arau, lepas tu Padang Besar dah."

Umar membuat keputusan untuk turun di stesen Arau bersama Ali. Semasa di Arau, Umar bertemu dengan bekas rakan sekolahnya, Roslan Mahmud (Tuan Faisal) yang berasal dari Kuala Lumpur. Roslan bertugas sebagai seorang guru Bahasa Malaysia di Perlis, seorang penggemar puisi karya Usman Awang dan amat mencintai bahasa kebangsaan. 

"Apa buat kat sini?"

"Aku ada 33 jam lagi sebelum aku balik KL. Kejap lagi aku boleh cerita panjang."

"33 jam? Aku boleh bawa jalan satu Perlis ni."

Pertemuan mereka bertiga menjadi satu pengembaraan masa untuk Ali, Umar dan Cikgu Roslan sambil mengingati kembali memori silam ketika Ali membesar di Perlis. Cikgu Roslan membawa Ali dan Umar bersiar-siar di beberapa tempat menarik sekitar Perlis dengan menaiki kereta jenis Volkwagen Beetle. Antaranya, Ladang Tebu Chuping iaitu ladang tebu terbesar di Malaysia dan juga kawasan paling panas di Malaysia dengan suhu mencecah hampir 41⁰C

"Aku rasa jiwa aku lebih sesuai dekat sini. Lagipun dekat sini semua orang masih bercakap bahasa kebangsaan." -Cikgu Roslan

Lokasi lain yang terdapat dalam filem pendek ini adalah Padang Melangit, Wang Kelian dan Tasik Timah Tasoh. 

Ali banyak berkongsi kepada Umar dan Cikgu Roslan mengenai kenangan silamnya. Kenangan sewaktu menonton filem Layar Lara hari raya pertama di Panggung Kapitol Kangar dan terus bercita-cita nak jadi pengarah filem selain berangan ada UFO landing di tengah ladang tebu selepas menonton XX-Ray.

"Sebab tu semua benda yang kita boleh ingat kita kena simpan." -Umar Ghazi

Semasa berlatarkan tempat di Tasik Timah Tasoh, Ali menyuarakan isi hati yang dia lebih gemar berangan daripada buat filem dan tidak pasti dengan masa depannya. Namun Cikgu Roslan menasihatinya supaya jangan takut dengan masa depan. Seperti dirinya, yang tidak takut untuk berhijrah ke Perlis untuk menjadi seorang guru. Di lokasi ini juga Ali berimaginasi lagu Ahmad Jais, Hidup Bukan Untuk Derita. Pemandangan Tasik Timah Tasoh  sangat cantik berlatarbelakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan. Tasik ini merupakan tasik buatan yang menjadi empangan saliran terbesar di negeri Perlis. Subhanallah!

"Jangan lupa lagu Ahmad Jais, Hidup Bukan Untuk Derita." 

Sebelum mereka bertiga berpisah, Cikgu Roslan ada menyerahkan sebuah buku koleksi puisi karya Sasterawan Negara Usman Awang kepada Umar. "20-30 tahun lagi dah tak ada dah. Simpan na." Buku koleksi puisi tersebut adalah terbitan Institut Terjemahan Buku Negara (ITBN). Nampaknya, saya kena beli satu ni. Sebelum habis dan tidak diulang cetak lagi. 

"Lain kali datang la lagi. Datang sini tak payah bawa pasport."

Dan Ali akhirnya menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung halamannya.

Tamat.

Banyak tempat-tempat menarik yang saya tak sangka ada di Perlis. Sungguh negerinya kecil, tetapi kaya dengan khazanah alam yang indah dan mungkin tiada tanding di tempat lain. Di situ tertumpahnya cinta saya terhadap Perlis. Mula menanam angan-angan untuk ke sana, buat tribute to Pasport Ekspres. Kembara solo. Kuala Lumpur - Perlis - Kuala Lumpur. Cewah!

Saya sangat kagum dengan Rewan Ishak dan mula tertanya-tanya siapakah beliau yang membikin filem pendek yang hebat seperti ini. Kemudian, saya membuat sedikit pencarian Google. Ternyata, beliau memang anak jati Perlis. Membesar di sana dan hampir keseluruhan plot cerita adalah berdasarkan pengalamannya sendiri. Tabik spring! Hebat orang Perlis. Kemudian, saya mula mengikuti aktiviti beliau di Twitter dan Facebook. (Instagram dah follow lama rupanya, Macam mana la boleh tak perasan)

Menurut cerita beliau yang dipetik dari blognya, filem pendek ini dibuat atas tawaran yang diberikan oleh Astro dengan kerjasama Red Film bertemakan kampung halamannya sempena Merdeka. Beliau amat meminati bidang sastera sewaktu dibangku sekolah lagi jadi tidak hairanlah beliau mendedikasikan beberapa puisi karya Uswan Awang di dalam filem ini selain kisah tentang lagu Ahmad Jais yang juga diinspirasikan sempena minat bapanya terhadap lagu-lagu lama. Rasa macam nak buat ringtone je intro lagu Hidup Bukan Untuk Derita. Haha. Dan puisi tu, sangat menusuk kalbu. Zaman sekarang ni mana nak jumpa anak muda yang minat puisi-puisi lama? Seronok! Suka dengan watak Cikgu Roslan.

Akhir kalam, filem pendek ini adalah jiwa saya. Jom backpack ke Perlis!


Bukankah kecurigaan itu telah terbunuh ketika kita bersapa 
- Usman Awang



Jiwa Hamba

Termenung seketika sunyi sejenak
Kosong di jiwa tiada penghuni
Hidup terasa diperbudak-budak
Hanya suara melambung tinggi

Berpusing roda beralih masa
Pelbagai neka hidup di bumi
Selagi hidup berjiwa hamba
Pasti tetap terjajah abadi

Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba

Ingatkan kembali kata sakti
Dari bahang kesedaran berapi
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan Jiwa Merdeka