Tuesday 24 April 2012

Buku: Nota Hati Seorang Lelaki


Saya mula membaca buku ini pada bulan April tahun lalu. Oleh kerana buku ini jenis non-fiksyen, berbentuk motivasi, jadi saya baca sikit-sikit. Sebab buku ini bersiri. Jadi, saya boleh pilih tajuk apa yang saya mahu baca.

Kebanyakan tajuk di dalam buku ini saya baca ketika menemani adik yang ditahan di wad kerana menghidap demam panas minggu lalu. Mujur waktu itu cuti semester. Kepulangan saya di kampung menjadi peneman rupanya.

Buku ini tidak berat mana. Bahasanya santai dan ringan. Berhubung kehidupan seharian kita. Meskitpun saya seorang perempuan, tidak bermaksud saya tidak boleh membaca buku yang bertajuk "lelaki". Dari buku ini, saya dapat menyelami hati seorang lelaki. Lelaki tersebut adalah seorang anak, suami, ayah, dan seorang dai'e iaitu pendakwah. 

Membaca nota hati seorang anak lelaki, perasaan saya apabila membacanya sama saja seperti nota hati seorang anak perempuan. Kisah ketaatan terhadap ibu bapa, bagaimana mahu menjaga hati meraka, dan apakah hadiah yang paling bernilai buat mereka. Tajuk yang paling menyentuh hati saya adalah "Dialog di Pusara Ayahanda." Tajuk ini menceritakan, bagaimana seorang bapa yang selama hayatnya tidak pernah solat, tidak puasa, berjudi dan minum arak, tetapi mempunyai seorang anak yang soleh. Sempat saya highlightkan di dalam buku ini, "Jika benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh. Tidak semestinya jika bapa soleh maka anaknya juga akan jadi anak yang soleh." (Halaman 5)

 Anak yang soleh itu adalah hadiah yang paling bermakna bagi ibu bapa.

Kemudian, nota hati seorang suami, yang saya perlu baca bagi sisi seorang suami. Saya mengambil iktibar dari kisah-kisah di dalam bab ini. Dari sini saya boleh belajar, isteri yang bagaimanakah seorang suami mahukan. Cewah! Bukan bermaksud saya sedang mencari calon suami. Cuma mahu bersiap bersedia. Apakah saya ni dah cukup baik? Belum, banyak lagi yang perlu dipelajari. Saya amat jatuh cinta dengan tajuk "Rasul Sebagai Suami" Aduhai, betapa romantiknya Rasulullah terhadap isteri-isterinya. Baginda bukan sahaja hebat mentadbir dan mengurus negara, tetapi menguruskan hal-hal remeh di dalam rumah tangga. Sebagai contoh, baginda menjahit sendiri bajunya yang koyak. Pernah suatu ketika, tiada apa yang boleh dimasak, lalu baginda mengatakan kepada isterinya, "hari itu kita berpuasa". Kemudian, ketika baginda pulang lewat malam, baginda hamparkan kain di hadapan pintu kerana tidak mahu mengejutkan isterinya yang telah lena. Lihat, betapa baiknya hati seorang Rasul.

Bahagian ketiga, nota hati seorang ayah. Tajuk Merancang mati untuk "hidup" sangat memberi kesedaran tentang kematian. Terdapat satu teka teki di dalam tajuk ini. Orang yang buat tak mahu pakai. Orang yang beli pun tak mahu pakai. Tetapi orang yang pakai tidak sedar dia memakainya. Jika anda bijak, cuba teka? Dapat? Jawapannya, keranda! Ya, keranda. Pembuat keranda tidak mahu memakainya. Begitu juga yang membelinya. Manakala si mati tidak sedar yang dia telah memakainya. Renung-renungkan....

Tajuk terakhir sekali, nota hati seorang da'i. Saya suka bagaimana penulis menjelaskan istilah "bertudung tetapi dedah aurat." Katanya, pakai tudung ni macam pakai topi keledar. Kerana topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung menjaga keselamatan akhlak. Tetapi, menjaga akhlak tidak cukup dengan hanya bertudung. Perkara lain yang perlu dijaga adalah tutur kata, tingkah laku, pandangan dan pergaulan. Kata ustaz lagi, pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung tetapi tak tutup aurat. Bukan sekadar mahu ikut berfesyen. Mana yang perlu ditutup, labuh dan singkatnya perlulah menepati syariat. Dengan itu, barulah terpelihara akhlak pada wanita yang menutup aurat. Dan selamat dia daripada gangguan.

Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan di sini. Tapi, nanti tak best pula. Ada baiknya anda dapatkan buku ini di pasaran. 

"A great man always willing to be a little"

No comments: