Friday 27 April 2012

Teh Tarik Bungkus

Situasi pertama:

Suatu pagi, di sebuah kafe, ketika saya sedang menyusun muffin yang baru dikeluarkan dari ketuhar ke dalam tray yang disediakan, seorang gadis datang menghampiri kaunter. Belumpun sempat gadis tersebut membuka mulut untuk memesan menu, terdengar satu suara meneriak: "Teh tarik bungkus satu!" Lalu saya segera menoleh ke arah gadis manis bertudung labuh itu berselang seli dengan empunya suara teh tarik tadi. Gadis itu tersenyum, dan saya mambalas senyuman itu. Kemudian, saya menoleh kepada kawan si pembancuh air, yang menyebut "Teh tarik bungkus satu!" tadi. Rupanya, si gadis manis bertudung labuh itu memang selalu memesan air yang sama setiap kali datang ke kafe. Dan gadis itu mengiakan sambil tersenyum. "Betul la tu, teh tarik bungkus satu."

Saya hanya tersenyum meleret sampai ke telinga untuk beberapa minit tanpa sepatah kata. Terasa geli hati melihat situasi itu.  Kata kawan saya, si pembancuh air itu, "Ha, kan betul. Memang dah agak dia akan pesan air yang sama apabila datang ke sini." Semenjak bekerja separuh masa di kafe itu, saya belum pernah bertemu dengan gadis manis bertudung labuh itu. Ini kali pertama.


Situasi Kedua:

Petang itu, pada hari yang sama, saya bergegas pulang ke rumah untuk membuat persiapan menghadiri majlis berbuka puasa atau iftar jamie bersama teman-teman usrah. Setibanya di suatu tempat yang dijanjikan, saya bersalaman dengan naqibah dan usrahmates. Ketika itu, azan waktu Maghrib sedang berkumandang. Kemudian, saya terpandang satu wajah yang sama dengan wajah yang dia kenali di kafe siang tadi. Sah! Dia adalah si gadis bertudung labuh yang memesan teh tarik bungkus itu. Hati saya terus rasa berdebar dan teruja! Dia menegur dahulu. "Awak yang dekat kafe tadi kan?" Saya mengiakan sambil menuding jari ke arah gadis itu dan berkata "Teh tarik bungkus?". Dan tawa pun berderaian. Namun, kerana menghormati azan maghrib, kami ketawa sekejap sahaja. Kemudian, kami terus bersalaman sebelum berbuka puasa bersama-sama. Perasaan saya sangat seronok yang tidak terkira! Sungguh aturan Tuhan itu sangat hebat.

Selepas solat Maghrib berjemaah, saya sempat bersembang dengan lebih panjang dan bertaaruf secara ringkas dengan gadis itu. Nur Hasanah namanya. Orangnya manis, kecil molek, dan statusnya sudah berpunya. Katanya, sungguh, ini adalah pertemuan yang tidak disangka. Walhal, kita sudah bertemu sebelum itu.

Sejak haritu, kata-kata "teh tarik bungkus" terus menjadi sebutan dan gurauan serta menjadi pengikat ukhwah antara kami.

P/s: Terima kasih Allah dengan pertemuan yang begitu manis ini.

"Ukhwah fillah abadan abadaa..."

Tuesday 24 April 2012

Buku: Nota Hati Seorang Lelaki


Saya mula membaca buku ini pada bulan April tahun lalu. Oleh kerana buku ini jenis non-fiksyen, berbentuk motivasi, jadi saya baca sikit-sikit. Sebab buku ini bersiri. Jadi, saya boleh pilih tajuk apa yang saya mahu baca.

Kebanyakan tajuk di dalam buku ini saya baca ketika menemani adik yang ditahan di wad kerana menghidap demam panas minggu lalu. Mujur waktu itu cuti semester. Kepulangan saya di kampung menjadi peneman rupanya.

Buku ini tidak berat mana. Bahasanya santai dan ringan. Berhubung kehidupan seharian kita. Meskitpun saya seorang perempuan, tidak bermaksud saya tidak boleh membaca buku yang bertajuk "lelaki". Dari buku ini, saya dapat menyelami hati seorang lelaki. Lelaki tersebut adalah seorang anak, suami, ayah, dan seorang dai'e iaitu pendakwah. 

Membaca nota hati seorang anak lelaki, perasaan saya apabila membacanya sama saja seperti nota hati seorang anak perempuan. Kisah ketaatan terhadap ibu bapa, bagaimana mahu menjaga hati meraka, dan apakah hadiah yang paling bernilai buat mereka. Tajuk yang paling menyentuh hati saya adalah "Dialog di Pusara Ayahanda." Tajuk ini menceritakan, bagaimana seorang bapa yang selama hayatnya tidak pernah solat, tidak puasa, berjudi dan minum arak, tetapi mempunyai seorang anak yang soleh. Sempat saya highlightkan di dalam buku ini, "Jika benar kamu sayangkan ayah kamu, jadilah anak yang soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di alam barzakh. Tidak semestinya jika bapa soleh maka anaknya juga akan jadi anak yang soleh." (Halaman 5)

 Anak yang soleh itu adalah hadiah yang paling bermakna bagi ibu bapa.

Kemudian, nota hati seorang suami, yang saya perlu baca bagi sisi seorang suami. Saya mengambil iktibar dari kisah-kisah di dalam bab ini. Dari sini saya boleh belajar, isteri yang bagaimanakah seorang suami mahukan. Cewah! Bukan bermaksud saya sedang mencari calon suami. Cuma mahu bersiap bersedia. Apakah saya ni dah cukup baik? Belum, banyak lagi yang perlu dipelajari. Saya amat jatuh cinta dengan tajuk "Rasul Sebagai Suami" Aduhai, betapa romantiknya Rasulullah terhadap isteri-isterinya. Baginda bukan sahaja hebat mentadbir dan mengurus negara, tetapi menguruskan hal-hal remeh di dalam rumah tangga. Sebagai contoh, baginda menjahit sendiri bajunya yang koyak. Pernah suatu ketika, tiada apa yang boleh dimasak, lalu baginda mengatakan kepada isterinya, "hari itu kita berpuasa". Kemudian, ketika baginda pulang lewat malam, baginda hamparkan kain di hadapan pintu kerana tidak mahu mengejutkan isterinya yang telah lena. Lihat, betapa baiknya hati seorang Rasul.

Bahagian ketiga, nota hati seorang ayah. Tajuk Merancang mati untuk "hidup" sangat memberi kesedaran tentang kematian. Terdapat satu teka teki di dalam tajuk ini. Orang yang buat tak mahu pakai. Orang yang beli pun tak mahu pakai. Tetapi orang yang pakai tidak sedar dia memakainya. Jika anda bijak, cuba teka? Dapat? Jawapannya, keranda! Ya, keranda. Pembuat keranda tidak mahu memakainya. Begitu juga yang membelinya. Manakala si mati tidak sedar yang dia telah memakainya. Renung-renungkan....

Tajuk terakhir sekali, nota hati seorang da'i. Saya suka bagaimana penulis menjelaskan istilah "bertudung tetapi dedah aurat." Katanya, pakai tudung ni macam pakai topi keledar. Kerana topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung menjaga keselamatan akhlak. Tetapi, menjaga akhlak tidak cukup dengan hanya bertudung. Perkara lain yang perlu dijaga adalah tutur kata, tingkah laku, pandangan dan pergaulan. Kata ustaz lagi, pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung tetapi tak tutup aurat. Bukan sekadar mahu ikut berfesyen. Mana yang perlu ditutup, labuh dan singkatnya perlulah menepati syariat. Dengan itu, barulah terpelihara akhlak pada wanita yang menutup aurat. Dan selamat dia daripada gangguan.

Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan di sini. Tapi, nanti tak best pula. Ada baiknya anda dapatkan buku ini di pasaran. 

"A great man always willing to be a little"

Wednesday 11 April 2012

Awan Nano


"Begitulah awan nano setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu"

Pernah dengar baris kata lagu ini? Mustahil tak pernah dengar. Minggu lalu, saya 'terjumpa' penulis lagu ini ketika 'jalan-jalan' di suatu tempat yang dirahsiakan. Pada mulanya saya tidak langsung mengenali lelaki ini. Saya hanya diberitahu beliau adalah Hasmi Hashim. Siapakah? Hasmi Hashim, penulis lirik lagu Awan nano. 

Apabila saya membuat sedikit pencarian di Google, saya terjumpa dua nama Hasmi Hashim dan Budhi Hekayat, adalah orang yang sama. Rupanya, Budhi Hekayat adalah nama pena Hasmi Hashim. Kemudian, saya meneruskan pencarian maksud Awan Nano. Katanya, awan nano adalah awan yang berserakan. Di mana, awan ini bertindak untuk melindungi sekalian makhluk dari pancaran sinaran matahari. Tanpa awan tersebut, kulit kita akan berasa perit apabila terkena panas matahari. Itulah fugsi awan selain menurunkan hujan, ia juga bertindak sebagai pelindung. Bersyukurlah!


Sunday 1 April 2012

Ahad dan April

Sudah 1 April 2012. Bermakna kita sudah melepasi suku tahun 2012. Selamat datang April dan selamat tinggal Mac. Walau macam manapun kita menyesal dengan Mac, Mac 2012 tetap berlalu. Yang ada cuma Mac 2013, Mac 2014, Mac 2015 dan seterusnya. Hargailah April yang sudah tiba di depan mata ini. Ya, April sangat gembira kerana gilirannya telah tiba. 

Ada apa dengan April? Ada sesuatu di penghujung April nanti...