Monday 21 November 2011

Menonton teater Badai Semalam

Malam Sabtu minggu yang lalu, saya berkesempatan menonton teater Badai Semalam di Istana Budaya. Ini adalah pertama kali saya ke Istana Budaya dan secara jujurnya saya sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia! Sebab di Malaysia ada Istana Budaya yang sangat cantik. Ok, itu alasan murahan.

Pendukung watak utama teater ini adalah Erra Fazira yang memegang watak Mazni. Heronya adalah Aaron Aziz dan Fizz Fairuz. Oleh kerana tempat duduk yang sangat tinggi dan jauh dari pentas, jadi para pelakon semua saya lihat sama saiznya seperti semut. Apapun, tetap berbaloi. Kitakan dah biasa dengan pelakon tu semua.

Teater Badai Semalam adalah cerita adaptasi daripada novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim. Saya belum pernah membaca novel tersebut tetapi acap kali mendengar tajuknya. Habatnya novel ini yang diterbitkan pada tahun 1968, ia ditulis oleh seorang penulis tersohor Khadijah Hashim antara penulis wanita terawal di Malaysia. Novel ini pernah menjadi teks KOMSAS pelajar tingkatan enam suatu ketika dahulu. Kamudian, novel ini juga pernah diadaptasi menjadi drama di TV1. Jadi, kehebatan novel ini membuatkan saya terpanggil untuk membacanya (suatu hari nanti).


Saya suka dengan lakonan Erra Fazira yang sangat berkesan. Memang sesuailah dengan gelaran 'pelakon air mata'. Ditambah pula dengan penonton yang sangat sporting, riuh rendah jadinya Panggung Sari, Istana Budaya apabila ada watak lucu atau muzikal tari-menari. Tak lupa juga lakonan yang mencuit hati daripada Emelda Rosmila yang membawa watak sebagai 'mami jarum'. Kelakar sangat!



P/s: Apa yang boleh saya katakan usai menonton teater ini adalah : PERFECT!

Monday 14 November 2011

Sebongkah Batu di Kuala Berang



Novel ini bukan sebarang novel. Terlalu sarat dengan kata-kata ilmiah. Biarpun tajuk berbunyi sejarah dan kajian, mengenai tokoh-tokoh sejarah, melibatkan banyak fakta tahun, lokasi dan nama-nama tokoh yang saya pun tak kenal, tetapi penulis berjaya menawan hati saya sehingga ke penghujung cerita. Seperti biasa, Faisal Tehrani memang suka meletakkan kata-kata semangat dan bahasa novelnya cukup indah. Serasa seperti saya menonton sebuah dokumentari drama!

Agak susah juga untuk saya menghabiskan pembacaan novel ini. Pada mulanya cerita agak bosan. Mengenai sekumpulan pelajar tahun akhir Akademi Seni Islam yang menjadikan sejarah batu bersurat sebagai doku-drama tugasan terakhir mereka. Saya tersangkut di suku novel agak lama. Namun, ada sesuatu yang menarik di pertengahan cerita apabila ada babak yang melibatkan beberapa pelakon popular tanah air. Secara tidak langsung, apabila membaca novel ini kita mempelajari sedikit sebanyak tentang dunia perfileman. 


Saya amat tertarik bagaimana penulis membuat kritikan terhadap beberapa orang selebriti tanah air yang pernah membuat heboh di negara ini beberapa ketika dahulu. Sebagai contoh:


"Saya rasa seperti bodoh makan cencaluk dan rasa lebih standard apabila makan spageti." Kata Sharifah Ezzati ketika menang Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Budu dahulu. (Halaman 28)


Rasanya, tak perlulah saya terangkan lagi siapakah selebriti tersebut. Semua orang tentu sudah tahu. Kerana mulut, badan binasa.


(Amat bersetuju dengan penulis yang mengatakan, ini adalah perang budaya. Mereka tidak boleh dihina tetapi dibimbing. Golongan seperti ini dianggap madh'u, iaitu sasaran dakwah bukannya musuh.)


Antara perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam novel ini adalah bagaimanakah caranya untuk menjadikan bidang perfileman sebagai satu wadah terbaik untuk berdakwah. Mamandangkan di Malaysia pada ketika ini terlalu sarat dengan filem-filem yang kebanyakannya meruntuh daripada membina seperti cerita seram, lumba haram, bohsia dan sebagainya, novel ini umpama hadir sebagai penyelamat industri filem di Malaysia.


"Sesungguhnya Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu. Dan sesungguhnya kamu sebelum ini adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui." (Surah Yusuf, ayat 3)


Ayat ini menerangkan, Al-Quran amat mengalu-alukan kisah yang baik. Filem hendaklah mendorong renungan, bukan hiburan semata-mata.


Penulis menjelaskan Islam Tsaqafi bermaksud menghasilkan pementasan drama, muzik, filem dan karya sastera bagi mengisi dakwah Islam sebenar. Ini adalah pendekatan yang sudah dikenali oleh manusia zaman sekarang. Remaja sekarang hanya kenal media seni. Jadi kita kena kuasai media ini. Memasjidkan semua lapangan seni.

Melalui novel ini juga, saya menjadi taksub seketika dengan wali songo. Langsung, saya meminta bantuan Google dan membaca beberapa artikel yang berkaitan untuk mendapatkan sedikit sebanyak info mengenainya.

P/s: Rasa macam nak hadiahkan buku ni kepada Sharifah Amani lah!