Saturday 30 July 2011

Ramadhan yang dinanti...


Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Selain makan dan minum, umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengumpat dan bergaduh. Umat Islam juga digalakkan bersedekah, serta meningkat amal ibadah di sepanjang bulan yang penuh barakah ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya umatku tahu apa yang terkandung di dalam bulan Ramadhan, pasti mereka mahukan sepanjang tahun itu bulan Ramadhan.”


Ramadhan tiba lagi. Untuk Ramadhan kali ini, saya tidak dapat menyambutnya bersama keluarga di kampung. Memandangkan komitmen terhadap kerja yang bertalu-talu, memaksa saya untuk menyambutnya secara bersendirian. Tapi, tak mengapa saya sudah pernah merasakannya sewaktu menuntut ilmu di utara tanah air suatu ketika dahulu.

Saya mengharapkan Ramadhan kali ini adalah yang lebih baik daripada Ramadhan yang lalu. Semoga kita semua dapat memanfaat bulan yang penuh barakah ini dengan beribadah sebanyak mungkin. Inilah peluang terbaik untuk kita menambah amal dan bertaubat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” (Al-Baqarah 2:183)

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1432 H

Tuesday 26 July 2011

Fanatik Harry Potter

Ini cerita tentang saya.

Kalau kamu semua bertanya kepada teman-teman rapat saya, sememangnya mereka tahu yang saya adalah seorang peminat fanatik Harry Potter sejak siri pertama filem ini ditayangkan.

Masih ingat lagi, ketika itu bulan Desember, musim perayaan kira-kira sepuluh tahun yang lalu, saya sanggup membatalkan hasrat untuk beraya bersama teman-teman semata-mata ingin menonton The Making of Harry Potter and The Sorcerer's Stone, iaitu filem pertama Harry Potter yang diadaptasi ke layar perak. Saya sangat teruja! 

Semasa di tingkatan satu, saya gemar beli dan kumpul buku-buku, majalah dan poster Harry Potter. Hampir setiap keratang akhbar yang tertera Harry Potter saya akan gunting dan tampal di dalam buku sekolah.

Saya masih ingat, Teacher Azlin, guru bahasa Inggeris ketika itu menyuruh pelajarnya menulis jurnal harian. Cerita apa saja yang kita mahu. Kebetulan ketika itu Harry Potter and The Prisoner of Azkaban kalau tak silap saya, sedang melanda pawagam. Jadi, saya menggunakan kesempatan ini untuk bercerita tentang Harry Potter. Sebab kawan-kawan yang lain tak ramai yang suka menonton Harry Potter. Jadi, saya tidak ada teman untuk berkongsi cerita tentang ini. Tiba hujung tahun, buku jurnal saya itu hilang. Saya hantar buku tersebut untuk dinilai, tetapi teacher saya mungkin tersalah letak, dan hilang sapai sekarang tak jumpa. Saya kecewa. Sebab di dalam buku tersebut saya tampal gambar Harry Potter yang cantik.

Masuk tingkatan lima, mula dah gatal. Berangan nak jumpa Daniel Radcliffe kat London konon. Haha! Sehingga terbawa ke dalam mimpi. Kononnya saya menang peraduan Harry Potter dan berpeluang menonton tayangan perdana bersama pelakon-pelakon Harry Potter di London.

Entah macam mana, suatu hari tu saya ke bilik guru. Tiba di satu meja guru tu, saya terpandang ada beberapa buah novel Harry Potter di atas meja cikgu tersebut. Cantik yang amat! Novel tu English version yang hard cover punya. Saya excited dapat pegang. Kemudian, saya pun berhasrat untuk memiliki kesemua novel Harry Potter. Hanya pada tahun 2007 hasrat itu terlaksana. Itupun secara berperingkat. Tak larat nak beli ketujuh-tujuh siri Harry Potter. Bankrup! 

Setelah membaca novel-novelnya, fahamlah keseluruhan cerita. Tak semua yang ada di alam novel tersebut ada di dalam movie. Jadi, kalau nak tahu keseluruhan cerita, bacalah novelnya terlebih dahulu. Dari situ, saya mula mnghafal beberapa jenis 'sumpahan' atau spell yang selalu diucapkan oleh Harry Potter. Seperti, Avada Kadavra, lumus, expelliarmus, expecto patronum, imperio dan banyak lagi. Kadang-kadang terpengaruh juga hingga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Kata orang, tak elok disebut bimbang ia membawa makna yang tidak elok. Yalah, Harry Potter kan seorang ahli sihir. Bapa saya sendiri menegah saya membaca Harry Potter, katanya tidak berfaedah. Tetapi, saya ingat pesanan seorang teman, kalau buku itu seteruk manapun bahasa atau jalan ceritanya mengarut, bacalah ia hanya sebagai sebuah buku.



Sunday 3 July 2011

KENTANG - Saharil Hasrin Sanin


Buku ini bukanlah sebuah novel atau sebuah cerita pendek mahupun antalogi puisi. Ia adalah himpunan contengan ilustrasi yang terdapat dalam sebuah blog milik penulisnya sendiri, Saharil Hasrin Sanin. 

Saya telah membaca separuh daripada buku ini semasa berada di dalam tren dari UKM menuju ke Seremban yang memakan masa hanya 45 minit. Buku ini ringan. Boleh dibaca di mana-mana jua anda berada. Di kedai makan, di atas pokok, ketika sedang beratur panjang untuk membeli burger atau apa saja keadaan sekalipun. Saya katakan begitu kerana buku ini tidak memerlukan pembacaan yang terlalu teliti. Ia sekadar ilustrasi seperti komik Ujang. Sangat kelakar. Bahasa yang sarkastik dan sinis. Siapa makan cili dia yang terasa pedas.


Tak sangka, kisah yang selalu diceritakan di blog akhirnya menjadi sebuah buku. Kalau macam tu, setiap blogger yang ingin terkenal, boleh la bukukan blog masing-masing. Hehe. Tapi dengan syarat, biarlah cerita yang bagus danbermutu. Tidaklah blog yang menjaja kisah peribadi tu nak dijadikan buku jugak. Agak-agak la kan? Apapun, ini suatu pendekatan yang baik. Semoga, Malaysia ni dapat melahirkan lebih ramai blogger yang berkualiti. Kalau saya bukukan blog saya ni, agak-agak ada orang nak beli tak? Haha!

Berbalik semula kisah Kentang. Saya suka kisah seorang bapa sedang membaca sisipan jawi akhbar Utusan Melayu. Situasi ini sehari selepas pemenang Juara Lagu diumumkan.

Katanya, "Mayat menang Juara Lagu?" Dia ulang lagi, "Mayat Uncle Husin menang Juara Lagu?" Dia tak puas hati dan membaca sekali lagi dengan kuat. "Mim ya ta...mayat kan?" Si anak yang mendengar ketawa terbahak-bahak!

Ha ha ha ha!

Kemudian, saya suka part dialog antara manusia dengan kerang. Halaman 136.

S: Terangkan sedikit tentang diri saudara.

J: "Nama saya kerang. Saya tinggal di tepi laut. Saya belum berkahwin tetapi memang berhasrat mahu berumahtangga dengan wanita idaman saya. Di waktu lapang saya suka mendengar muzik dan tersengih."

S: Tersengih macam mana yang saudara suka?

J: Tersengih macam kerang.

Ha ha ha!

Tetapi, ada juga beberapa halaman yang saya tak berapa nak faham. Contoh, ilustrasi gambar ayam, ABCD dan lain-lain. Buku ini telah memberitahu dan menunjukkan saya bagaipana rupanya ayam berak kapur. Ayam berak keluar kapur. Ha ha ha!

Serius kelakar. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai penulis, buku dan blognya, sila klik pautan ini: http://saharil.com/

P/s: AWAS! Buku ini mengandungi beberapa ilustrasi yang berbaur 18SX. Jadi, sila pantau anak-anak di bawah umur jika ingin membaca buku ini yang mungkin boleh dianggap komik seperti Kampung Boy. (Saya tak faham kenapa mesti ada unsur tersebut. Ops!)