Thursday 23 June 2011

Karipap-karipap Cinta - Nazri M. Annuar

Setiap hari menunggu tren di stesen komuter untuk ke tempat kerja (beberapa hari yang lalu), telah membuatkan diri saya sering kali tersenyum dan dan ketawa sorang-sorang. Ada kalanya gelak saya terlepas secara spontan dan menyebabkan beberapa penumpang tren memandang ke arah saya. Ah! Malu, tetapi pedulikan. Macam tak biasa pula. Entah kenapa agaknya, novel kali ini kelakarnya luar biasa.

Novel hasil tulisan Nazri M. Annuar (http://www.dunia-vovin.com) bagi saya agak luar biasa. Memang betul la kata orang yang pakar buku, penulis buku perempuan dan lelaki sangat berbeza. Kita boleh kenal dengan hanya membaca buku dan boleh agak gaya penulisan kedua-dua gender ini. Jadi, untuk buku ini, gaya bahasa Vovin sangat lain daripada penulis yang lain. Kalau boleh dikategorikan novel 'gila-gila', saya mahu meletakkan penulis Hlovate dan Vovin. Dan antara Hlovate dan Vovin, mereka punya kekuatan tersendiri. 

Bercerita tentang novel Karipap-karipap Cinta, saya antara peminat fanatik novel ini. Sebab, saya asyik membaca ulasan di blog mereka-mereka yang sudah membaca, semuanya memberikan pujian. Sekarang, saya pula mahu memuji.

Ini kisah tentang Ali, yang wataknya biasa-biasa sahaja. Lelaki bujang, faham-faham sajalah. Nak mengurat Sarah yang tarafnya ibarat seorang ustazah. Dari sini saya faham, betapa lelaki macam Ali pun masih ada hati nak kan seorang perempuan seperti Sarah. Dan, gadis manis lepasan Al-Azhar seperti Sarah, boleh juga jatuh hati kepada Ali. Dipendekkan cerita, seorang rokers nak mengurat seorang ustazah. Siapa kata ustazah tak boleh bercinta dengan rokers? Tak semestinya ustazah mesti dengan ustaz. Lebih kurang begitulah kisah di dalam novel ini.

Bermaca-macam helah dan lawak antarabangsa, yang kalau baca boleh je gelak sampai hampir pecah perut. Tak percaya? Bacalah kalau nak tahu. Sejujurnya, novel ini sangat baguslah kalau lelaki nak baca, sebab saya rasa watak seperti Ali memang banyak kat Malaysia ni. Sesuailah untuk korang.

Selepas membaca, tahulah saya kenapa tajuknya Karipap-karipap Cinta. Selain watak Sarah yang suka makan karipap, tajuknyanya juga boleh dikaitkan dengan tajuk-tajuk novel karya Habiburahman El-Shirazy seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain-lain.Mungkin, Vovin sengaja beri tajuk begitu.

Untuk kamu semua, bacalah Karipap-karipap Cinta jika mahukan kelainan. Novel ini memang berbeza.

P/s: Suka dengan kata-kata Bart Rasta:

"Hidup adalah cinta,
cinta adalah jiwa,
jiwa adalah nyawa,
nyawa adalah manusia,
dan manusia adalah cinta.
Tanpa cinta, tiadalah kita,
kita wujud di dunia kerana cinta Tuhan,
tanpa cinta Tuhan, kita tiada makna,
tanpa makna, tiadalah cinta di dunia.
Tanpa cinta, tiadalah kita.
Tanpa kita, tiadalah cinta!"