Saturday, 30 April 2011

Selamat Hari Jadi, Selamat Pendek Umur!


Semalam, 29 April, hari ulang tahun kelahiran saya. Apa yang ada pada hari jadi? Ucapan? Kek? Tiup lilin? Nyanyian? Hadiah? Doa? Baling-baling tepung, telur, air sabun dan apa saya bahan berunsurkan untuk menyakat? Bagi saya, cukuplah sekadar doa. Tanda kesyukuran kita terhadap Pencipta. Tiada kek pun tak apa. Kalau kamu tak nyanyi pun tak mengapa. Cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan saya.

Namun, disebalik hari jadi itu, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan. Menurut buku Nota Hati Seorang Lelaki, hasil tulisan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi, semakin hari sebenarnya semakin pendek umur kita. Kerana tarikh mati telah Allah tetapkan sejak di dalam rahim ibu lagi. Semakin hari semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu. Jadi, jangan terlalu berbangga dengan umur jika kamu dudah meningkat dewasa, semakin bebas membuat keputusan. Tetapi fikirlah bahawa, amal kebaikan itu perlu bertambah seiring pertambahan usia. Itu yang saya harapkan.

Hukama berkata, "Sesiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!"

Mati bukanlah suatu pengakhiran, tetapi suatu permulaan. Permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi - alam akhirat. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki! Umur hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arloji.

Surah Al-Baqarah menukilkan, seseorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup. Syuhada mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, petua untuk panjang umur ialah mati syahid. Menurut ahli sejarah, sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini 'mati' kerana terlalu mencintai hidup.

"Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti, tetapi pada kualiti."

Terima kasih kepada teman-teman di Nor Cake House!

Sunday, 10 April 2011

Bedar Sukma Bisu by Faisal Tehrani

Kisah tentang sebuah semenanjung emas. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai mengalir perlahan. Ada awan-gemawan melitupi meneduhkan. Ada laut bergelora permukaan tetapi tenang di dalam.

Membaca novel ini sama keadaannya seperti saya membaca novel Imam dahulu.  Agak lambat saya hayati. Bahasanya mudah tetapi penceritannya sedikit berat. Apatah lagi untuk saya yang tidak tahu apa itu bedar. Sehinggakan, saya bertanya kepada kakak. Apa itu bedar? Rupanya, adik-beradik perahu, kapal atau sampan.

Cerita ini terlalu sarat dengan bedar. Tentang keluarga Wefada yang menjadikan bedar sebagai ekonomi keluarga. Novel ini lebih banyak membicarakan tentang konsep ekonomi. Ada juga bahagian yang saya skip, sebab tak faham. Cuma sedikit faham mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebab dulu pernah belajar. Apapun, saya cuba untuk menghabiskannya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya serabut mengenai kedudukan watak dan bab.  Sebagai contoh, bab satu cerita sedikit tentang nenek Wefada, iaitu Tengku Fatimah. Kemudian, bab dua cerita tentang Elamine. Lepas tu masuk pula Muawiyah, Waqeel, Marwan, Chen, Ben Qortubi dan lain-lain watak. Sehinggakan saya terpaksa membuat mind-map untuk susun semula salasilah keluarga Wefada.

Apa yang saya suka adalah ketika membaca mengenai kesuburan tanah di Semenanjung Emas iaitu Malaysia. Mengulang kembali ingatan saya terhadap sejarah Melaka. Ketika membaca novel ini, filem Hikayat Merong Mahawangsa sedang hangat ditayangkan. Dan secara kebetulan juga saya terjumpa persamaannya iaitu Semenanjung Emas dan bedar.

Ceritanya memang bagus. Saya kagum dengan Dr. Faisal Tehrani kerana setiap buah tangannya pasti bukan yang calang-calang. Semestinya sesuatu yang excellent. Jadi, tak hairanlah kalau novel ini memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.


"Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertaqwa dan yang kaya" (Riwayat Saad bin Abi Waqqas, halaman 98)

"Nabi Muhammad yang pintar berniaga dan tidak pernah menolak kekayaan sebagai satu unsur penting dalam dakwah dan jihad." (halaman 180)

P/s: Jadi, tak salah kalau nak kaya, asalkan jangan sombong dan kedekut.