Wednesday 30 March 2011

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan fugu, Lukisan & Jimson

Novel Siri Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisan & Jimson merupakan kesinambungan novel HSKU, Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Kalau dulu, saya memberikan lima bintang untuk Detektif Indigo. Tetapi kali ni saya hanya memberikan empat sahaja. Kerana, kebanyakan watak perwatakan sudah diketahui. Jadi, tidak ada apa yang mengujakan mengenai watak. Jalan cerita juga agak ringkas berbanding novel yang pertama.
Baiklah. Bercerita tentang novel ini, ia terbahagi kepada tiga bahagian atau tiga kes penyiasatan. Pertama penyiasatan tentang ikan fugu (sejenis ikan yang berasal dari Jepun), yang melibatkan Chen-chung, Faruq, Ruzbihan dan Isamu. Kedua, penyiasatan tentang kecurian lukisan untuk pameran yang melibatkan Mihrimah Maryam. Manakala Rabiah Zaitun pula mengendalikan kes penyiasatan berkenaan Jimson. Pada mulanya saya menyangkakan Jimson adalah nama orang, tetapi ia sebenarnya adalah sejenis teh. Teh yang ada kesan dadah dan boleh menyebabkan penggunanya mengalami halusinasi bunyi, lupa, selain suhu badan naik mendadak juga boleh mengalami photofobia, takut dengan cahaya. Kesemua detektif indigo terpaksa mengorbankan beberapa hari cuti sekolah mereka untuk menjadi penyiasat.
Daripada ketiga-tiga kes, saya dapati penyiasatan tentang ikan fugu yang lebih menarik perhatian. Kerana, penyiasatannya lebih dramatik melibatkan empat orang detektif indigo.
Untuk novel kali ini, watak kegemaran saya, Faruq tidak banyak mengeluarkan fakta ‘Tahukah Anda’ yang menarik atau kelakar. Mungkin kerana fakta-fakta menarik itu telah banyak dicurahkan untuk Detektif Indigo yang pertama. Namun fakta-fakta ini tetap mampu membuatkan pembaca mengukir senyuman.
Sebagai contoh, tahukah anda mesin elekteonsefalograf  akan mengalirkan satu gelombang elektrik yang dapat mengesan sebarang penipuan yang dilakukan pada otak?
Atau, tahukah anda dalam tahun 1971 sebuah syarikat makanan segera Bon Vivant telah jatuh bangkrap kerana seorang pelanggannya meninggal dunia akibat keracunan botulinum yang terdapat di dalam sup segera vichyssoise?
Atau, tahukah anda takifugu rubripes (ikan fugu) ikan dengan bibir tebal sebenarnya mengandungi tetrodotoxin.
Atau, tahukah anda dalam tahun 1776 Paul Revere mengecam mayat Joseph Warren sepuluh bulan selepas dikebumikan menerusi giginya?
Atau, tahukah anda permaidani Parsi mengandungi kira-kira sejuta ikatan dalam setiap  tiga kaki persegi, warna dan kualitinya hanya akan luntur selepas lima ratus tahun.
Selain itu, di dalam novel ini juga saya jumpa banyak perkataan saintifik yang sukar untuk disebut. Seperti, elektreonsefalograf, subdural hematoma, vichyssoise dan tetrodotoxin.
Dan perkataan yang paling unik dan paling susah untuk disebut di dalam novel ini adalah, Llanfairpwllqwyngyllgogerychwyrndrobwllllantysiliogogogoch iaitu nama tempat yang diketahui paling panjang di bumi ini yang terletak di barat laut Wales, United Kingdom. Tetapi selalunya orang menyebut sebagai Llanfair PG saja.
Macam mana? Cuba anda sebut dengan sekali lafaz sahaja. Hehe…berbelit lidah bukan? Kesimpulannya, biarpun ratingnya sedikit jatuh daripada novel yang pertama, namun jalan ceritanya tetap menarik dan mampu memberikan manfaat kepada pembaca. Saya akan baca Detektif Indigo Kembali pula selepas ini.

Thursday 24 March 2011

Anda adalah apa yang anda baca

Dia suka baca komik. Patut la perangai dia juga seperti kartun. Oh, dia sangat jiwang sebab dia sangat suka baca novel cinta terbitan Alaf 21. Kamu lihat dia serius bukan? Sebab dia lebih banyak membaca buku sastera berbanding novel-novel biasa. Tahu sajalah, novel sastera kan novel untuk golongan orang tua. Dia tu, sangat suka berimaginasi dan berfantasi. Nak tahu kenapa? Sebab dia suka sangat membaca novel bersiri Harry Potter.

Yang mana satukah anda? Saya....semua! Boleh jadi perangai saya seperti Detektif Conan untuk beberapa ketika setelah membaca novel Detektif Indigo karya Faisal Tehrani. Boleh juga jadi, perangai saya suka berimaginasi, kononnya boleh merubah masa sekarang kepada 20 tahun akan datang atau 20 tahun yang lampau setelah membaca novel bersiri Harry Potter. Mungkin, saya akan termimpikan jejaka kacak lagi bergaya menaiki BMW 5 series setelah tidak tidur semalaman dek penangan novel cinta Alaf 21. Ataupun, saya menjadi seorang yang sangat puitis dalam berkata-kata selepas membaca karya sastera seperti novel Imam karya Abdullah Hussain. Kadang-kadang saya juga teringin nak menjadi watak gila-gila seperti novel karangan Hlovate.

Ah! Sangat tidak tetap pendirian. Kita tidak boleh menilai seseorang itu daripada apa yang dia baca. Boleh jadi, seseorang itu tidaklah seburuk kartun. Mungkin dia seorang yang serius, tetapi oleh kerana minatnya ke arah komik kita pula menggelarkannya kartun. Seperti yang saya terangkan di atas, keadaan minat saya berubah-ubah. Mengikut jenis pembacaan. Di sini jelas menunjukkan, pembacaan yang bagus adalah pembacaan yang memberikan kesan yang mendalam terhadap pembaca.

Saya selalu juga mendengar kata-kata seperti: "Tak bosan ke baca buku sastera? Tak cool langsung!"
Atau, "Kau ni suka sangat baca novel islami, tak masuk la dengan aku"

Oh, saya sangat berkecil hati dengan kata-kata seumpama itu. Belum cuba, belum tahu. Bukan apa, saya cuma mahu kawan saya beralih sedikit daripada pembacan yang sama. Sebab itu saya memberinya pinjam buku-buku seperti itu. Selepas seminggu, dia pulangkan semula. Katanya, "Aku tak bacapun. Tengok cover pun dah tahu tak best."

Hello, novel Tunggu Teduh Dulu pun cerita tentang cinta. Konserto Terakhir yang kau baca sampai keluar air mata dan hingus semasa di tingkatan lima dulupun adalah novel karya Sasterawan Negara.

Aduhai, bagaimana agaknya ya nak merubah persepsi sesetengah masyarakat Malaysia ni agar membaca bahan bacaan yang bermanfaat dan memberi kebaikan kepada diri sendiri?

Jadi, kalau anda nak berubah. Berubahlah dengan pembacaan. Jadilah apa saja yang kamu mahu jadi. Apa salahnya sesekali tu tukar selera. Orang jahat juga boleh berubah menjadi alim setelah membaca buku.

P/s: Ini adalah pandangan saya yang bukan pakar. Jadi, kalau ada yang tidak bersetuju silalah suarakan.

Sunday 13 March 2011

Sedetik Lebih --> Lagu berhantu


Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu
Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu
Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa
Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya
Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu
Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu
Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa
Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya