Monday 31 January 2011

Detektif Indigo dan sixth sense

Membaca Detektif Indigo ibarat saya menonton Detective Conan versi Bahasa Melayu. Membaca Detektif Indigo juga membuatkan saya berfikir, ini adalah bayangan Harry Potter. Dan, membaca Detektif Indigo saya mengimaginasikan bahan-bahan forensik yang diceritakan adalah seperti dalam drama TV CSI.

Ya, sememangnya novel ini memerlukan kita untuk berimaginasi. Cuba untuk merasai apa yang mereka (iaitu remaja indigo atau remaja yang punya deria keenam) fikirkan. Tabik spring kepada penulis, Dr Faisal Tehrani, kerana berjaya membuatkan saya berfikir secara luar biasa.

Novel ini menceritakan tentang remaja indigo iaitu remaja yang mempunyai deria keenam. Menurut Dr. Dilaysu dalam novel ini, remaja indigo ialah remaja yang memiliki tahap IQ melebihi 120. Sifat dan perangai manusia boleh dikaitkan dengan medan elektromangetik tertentu, atau medan tenaga. Setiap manusia ada warna khas dan warna indigo adalah gabungan biru dan nila. Warna indigo dikaitkan dengan deria keenam. The sixth sense. Warna ini dapat dikesan di antara dahi dan kedua-dua alis mata. Salah seorang remaja dalam novel ini yang mempunyai tahap IQ yang tertinggi ialah Chen-chung iaitu 357.

IQ luar biasa dan deria keenam menjadikan mereka detektif indigo. Mereka mempunyai kebolehan bertelepati. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, telepati bermaksud perhubungan fikiran, perasaan dan sebagainya secara langsung antara minda seseorang dengan minda seorang yang lain tanpa melalui deria yang biasa. Tetapi, saya tak jumpa maksud perkataan 'indigo' selain bahan pewarna biru.

Mereka, remaja indigo ini seramai enam orang, bersatu dan dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak berteraskan iman dan takwa.

Saya jarang menonton Detective Conan. Sekadar menontonnya bersama adik. Ceritanya sama saja, mengenai budak-budak penyiasat ala CSI. Kebolehan untuk berhubung secara luar biasa. Kita dapat menerokai alam sains, kimia, fizik dan seangkatan dengannya.

Bayangan Harry Potter. Saya rasa, novel ini lebih islamik sifatnya dan berpijak di bumi yang nyata. Jika Harry Potter menampilkan latar belakang fantasi magis, Detektif Indigo pula datang dari arah yang bertentangan sama sekali. Penulis menggunakan pendekatan yang berbeza dari JK Rowling. Kisah Detektif Indigo bersandarkan realiti dan penyelidikan. Yalah, Harry Potter itu cerita orang putih. Ini cerita orang Melayu. Sesuailah untuk bacaan kita.

Saya tidak pasti bahawa novel yang saya baca adalah novel rekaan semata-mata dan bukanlah suatu yang ‘real’. Dari muka ke muka, helaian demi helaian yang dibaca tidak langsung menunjukkan bahawa ini adalah suatu cereka. Mujur penulis menyatakan pendirian di akhir babak bahawa novel tersebut adalah rekaan semata-mata. Fuhhh! Penat saya Google Maktab Rendah Remaja Indigo. Memang patutlah tak jumpa. Hehe.

Saya amat tertarik dengan watak Faruq atau digelar “Si Tahukah Anda?” oleh teman-teman. Antara info yang menarik:

-  Tahukah anda, jantung manusia mempunyai tekanan yang boleh memancutkan drah setinggi 9 meter?
-  Tahukah anda, menghidu pisang, bukan memakannya, boleh menolong mengurangkan berat badan?
-  Ikan lumba-lumba tidur dengan sebelah mata terbuka.
-  Lipas boleh hidup untuk beberapa minggu lagi meskipun kepalanya telah putus.
-  Semut mengeliat setiap kali bangun daripada tidur. 
-  Secara purata manusia bermimpi sebanyak 1460 kali dalam setahun. 
-  Gajah ialah mamalia yang tidak boleh melompat.

Babak yang paling saya suka di halamaan 80:

Faruq menunduk, (selepas dimarahi oleh Mihrimah) bersuara perlahan. "Tahukah anda serbuk teh di China berjumlah kira-kira 317 ribu tan?"

Kata ibu Faruq, sekiranya dimarahi, Faruq mudah merajuk dan dia akan mula menyebut pelbagai fakta "Tahukah Anda". 

Oh, saya sangat suka babak ini. Sangat menarik dan lucu bukan? Terlalu banyak fakta yng mahu saya kongsikan. Tetapi, bimbang anda bosan membaca entri saya yang berjela-jela. Ok, kalau nak tahu lebih lanjut, sila dapatkan novel ini di pasaran. Murah saja, tak mahal. Apa salahnya berbelanja untuk mendapatkan ilmu, kan?

p/s: Selepas ini nak baca Detektif Indigo Kembali dan Detektif Indigo: Ikan Fugu, Lukisn & Jimson.

Wednesday 26 January 2011

Jutawan Blog?

Anda boleh jadi jutawan jika anda memiliki blog? Boleh percaya ke?

Tentu ramai yang terkejut setelah membaca muka hadapan akhbar Berita Minggu (BM) Ahad lalu. Tentang seorang blogger boleh untung RM1 juta hanya dengan menulis blog. Saya tak baca berita lain dulu, terus sambar berita seperti di muka hadapan.

Oo...bukanlah jutawan pun. Itu anggaran secara purata saja. Mustahil kamu boleh menjadi jutawan dengan menulis blog saja. Mustahil! Kecuali jika kamu memang seorang businessman atau seorang penulis buku bestseller. Itu memang tidak dinafikan.

Blogger seperti yang diceritakan di dalam BM tersebut adalah seorang wanita dan juga seorang ibu. Blog http://redmummy.com/ telah mendapat perhatian seluruh negara. Ya, saya telah melawat blog beliau. Memang aktif. Tetapi, bagi saya blog Red Mummy itu sama saja seperti blog orang lain. Membaca ceritanya kadang ada yang sama dengan orang lain. Iaitu menjaja kisah peribadi. Perihal kehidupan seharian. Apa yang menguntungkannya sebenarnya adalah Nuffnang! Dia dapat duit bukan hasil jualan barang atau apa pun. Dia dapat duit sebab Nuffnang yang beri.

Apa itu Nuffnang? Nuffnang itu adalah komuniti pengiklanan blog. Blog kita boleh memaparkan iklan berasaskan grafik daripada pihak pengiklan. Contohnya seperti Nokia, Nike, Nestle dan banyak lagi. Jadi, blog kita menjadi perantara untuk Nuffnang menyampaikan berita/iklan kepada pembaca blog. Lebih ramai follower sesebuah blog bermaksud lebih popularlah sesuatu blog itu. Jadi, bila dah ramai follower, Nuffnang akan beri blogger tersebut upah berbentuk cek. Maka, dengan itulah mereka digelar 'Buat Duit Dengan Blog'

Faham? 

Saya pun sebenarnya baru saja faham selepas diceritakan oleh seorang teman. Untuk maklumat lebih mendalam, sila baca di laman web Nuffnang. Anda tentu juga perlukan duit bukan? Materialistik! Seperti saya. Haha. Siapa yang tidak mahu duit? Jadi, berusahalah menjadi jutawan. Ingat, berwaspadalah dengan setiap entri yang dimasukan. Berikanlah maklumat yang bermanfaat untuk semua. Mereka dapat ilmu, anda dapat pahala. Janganlah dok merapu dengan entri yang tidak berfaedah.

Tetapi, saya sedikit ragu-ragu dengan sumber pendapatan tersebut. Nanti saya tanyakan kepada ustaz ok. 

p/s: Selamat menjadi jutawan blog!

Wednesday 19 January 2011

Goodreads


Sejak menyertai grup 'ulat buku' Goodreads, minat saya untuk membaca menjadi semakin bertambah-tambah. Kalau dahulu saya paling susah nak menghabiskan bacaan dalam masa yang singkat, contohnya dua hari, walaupun buku tersebut tidaklah tebal mana, cuma 180 halaman. Tetapi, sejak saya masuk Goodreads, saya semakin rajin membaca. Saya boleh menghabiskan bacaan 180 halaman dalam masa 2 hari. (Jangan gelak okey. Saya tahu anda boleh menghabiskannya dalam masa setengah hari). Hal ini terjadi kerana beberapa perkara:

1. Saya jelous melihat teman-teman Goodreads yang meng'update' status mereka setiap hari.
2. Saya rasa nak lawan mereka yang telah ada lebih 100 buah buku di dalam rak. (Owh, rak buku saya cuma ada 29 buah buku sehingga 19 Januari 2011).
3. Seronok dapat berkongsi buku dengan teman-teman. Kita boleh melihat buku apa yang mereka baca. Boleh review buku mana yang saya berkenan berdasarkan bacaan dan pendapat mereka.
4. Dapat berkongsi topik hangat dan berdiskusi semua tentang buku di Goodreads Malaysia.
5. Kenalan baharu mambuatkan kita boleh berfikiran lebih jauh kerana dapat berjumpa kawan-kawan 'ulat buku' dari seluruh Malaysia. Luar negara pun ada. Ini dapat meluaskan pengetahuan terhadap apa yang mereka baca.

Kepada teman-teman yang belum mendaftar sebagai ahli Goodreads, segeralah berbuat demikian. Percayalah anda tidak akan rugi atau menyesal. Mari kawan-kawan, tambah saya sebagai kenalan di Goodreads!



Saturday 15 January 2011

Darwinisme dalam novel Kasih Nan Agung

Entri ini diwujudkan selepas saya membaca novel yang telah memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2008, Kasih Nan Agung oleh Sri Rahayu Mohd Yusop. 

Sinopsiis:

Novel ini mengisahkan tentang Jaka Sulaiman Awang Safar yang menuntut jurusan paleoantropologi tahun akhir di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat.  Beliau menentang segolongan ahli akademik di universiti itu yang mendukung teori evolusi Charles Darwin. Keutuhan pegangan Jaka Sulaiman dalam melawan hegemoni ilmu Barat, dia berjaya meruntuhkan teori evolusi Darwin secara ilmiah dengan pendekatan ilmu Islam. Kehadiran watak Jaka Sulaiman bersandarkan wahyu Allah berjaya menenggelamkan dominasi Barat dalam mempertahankan falsafah mereka yang batil dan berselindung di sebalik hujah-hujah palsu serta mengelirukan.

Marah. Sudah tentu marah apabila kamu mendengar ada pihak yang mengatakan nenek moyang kamu adalah gorila. Dan kamu adalah keturunan gorila. Itulah yang dialami oleh watak utama, Jaka Sulaiman semasa mendengar simposium Kebangkitan Semula Neo-Darwinisme: Bukti Baharu, Kebenaran Lama. Beliau menentang keras apabila Maximillian Blake, seorang pembentang, mengatakan manusia dan mawas datang daripada keturunan yang sama. Siapapun yang tidak marah bukan?

Buku ini sangat bagus untuk remaja. Bahasa yang mudah dan santai. Mesejnya sangat mendalam dan saya sukakan novel yang mengandungi fakta-fakta sejarah.

Novel ini juga telah mengingatkan saya kepada peristiwa beberapa tahun yang lalu. Sewaktu saya di Tingkatan Enam (sementara sahaja), saya pernah membahaskan isu ini dengan seorang guru matapelajaran Sejarah. Ketika itu, sekitar tahun 2006 sedang hangat diperkatakan tentang kelibat makhluk yang digelar Bigfoot atau lebih dikenali sebagai Orang Mawas, dilaporkan muncul di Johor. Saya mencari semula beberapa artikel surat khabar yang masih saya simpan sehingga hari ini, dan membacanya semula. Tajuk artikel tersebut: Bigfoot Johor saki baki manusia prasejarah. 

Soalan saya kepada cikgu (saya sudah lupa namanya) lebih kurang berbunyi begini, "Cikgu, apakah manusia berasal daripada Bigfoot? Berbulu-bulu seperti zaman pra-sejarah. Tetapi bagaimana pula dengan Nabi Adam? Nabi Adam juga berasal daripaada keturunan Bigfoot?"

Cikgu saya tersengih mendengar jawapan daripada saya.

Jawapan cikgu, "Kita sebagai orang Islam seharusnya percaya kepada Al-Quran dan kelahiran Nabi Adam. Nabi Adam bukan berketurunan Bigfoot atau Orang Mawas. Manusia adalah sebaik-baik kejadian.  Mempunyai akal untuk berfikir dan hidup berbudaya. Manusia prasejarah menerusi Teori Darwin itu adalah satu mitos. Biarpun dia ada bukti fosil-fosil, itu belum cukup untuk membuktikan kewujudan manusia zaman tersebut. Itu semua adalah teori evolusi orang barat. Mereka yang tidak mempercayai agama Islam mana mungkin hendak mempercayai Nabi Adam? Jadi, kita orang Islam sudah tentunya percaya kepada Al-Quran dan percaya akan kewujudan Nabi Adam serta asal usul kejadian manusia.

Surah Al-Mu'minun:

"Dan sungguh. Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah." - Ayat 12
"Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim)" - Ayat 13
"Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik." - Ayat 14.

Ya, Allah adalah Pencipta yang paling baik. Sesungguhnya Teori Evolusi Darwin itu tidak boleh pakai. Karut yang karut! Menyesal dulu, semasa di Tingkatan Satu, dan Tingkatan Enam belajar zaman pra-sejarah. Tetapi, kalau dah tahu Teori Darwin tu tak betul, kenapa ada lagi kandungannya di dalam buku teks? Kenapa tidak ditukarkan saja asal-usul kejadian manusia itu seperti yang terkandung di dalam Al-Quran?

Monday 10 January 2011

Mengulangkaji novel IMAM karya Abdullah Hussain

Setelah sekian lama  'mengulangkaji' novel IMAM karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, akhirnya saya sampai juga ke halaman terakhir pada jam 1:55 petang hari ini. Saya menyalahkan diri sendiri kerana terlalu banyak penangguhan berlaku sepanjang membaca IMAM. Sikap ini tidak baik untuk dicontohi ya.

Saya ini bukanlah seorang yang arif mahupun sasterawan atau apa. Apa yang ingin saya sampaikan hanyalah daripada seorang pembaca terhadap bahan bacaan yang dibaca. Saya tertarik untuk membaca novel Imam setelah membaca Konserto Terakhir selain sinopsis dan tajuknya yang unik. 

Saya sangat respek kepada penulis kerana berjaya menyampaikan mesej kepada pembaca seperti saya. Syabas saya ucapkan kerana Abdullah Hussain bukanlah seorang yang berstatus 'imam' atau 'ustaz' tetapi beliau mampu menghasilkan sebuah novel Islam seperti imam. Membaca novel ini seperti saya membaca tulisan seorang ulama!

Novel Imam bagi saya sangat menyentuh hati. Ia mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri. Namun ia mendapat tentangan dari sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa malah dari saudara-maranya sendiri. Imam Haji Mihad didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak Majlis Agama. Saya dapat mempelajari bagaimana tugas seorang imam. Bukan sekadar mengimamkan solat, malah imam juga menyelesaikan banyak hal yang berkaitan agama.

Sesungguhnya bahasa melayu itu sangat indah. Bahasa yang digunakan di dalam novel ini aduhai...sangat mudah difahami, sangat lembut dan berhemah bagi saya. Di awal pembacaan saya sudah dapat agak novel ini sangat bagus. Ibarat membaca buku panduan agama. Banyak hal-hal fardu ain yang kita terlepas pandang, diperbetulkan. Sebagai contoh, cara berwuduk dengan betul dan rukun-rukun di dalam solat. Ya, memang banyak isu tentang solat disentuh. Setiap konflik dan penyelesaian juga dapat disusun dengan baik.

Haji Mihad. Saya amat tersentuh dengan perjalanan hidup Haji Mihad. Ya Allah, Haji Mihad ni sangat baik la. Beliau sangat berhemah dan penyabar orangnya. Setiap tutur katanya melambangkan peribadinya yang santun. Jika dimarah atau dikutuk, beliau sentiasa positif dan berprasangka baik. Saya ingin mencontohi sikap Haji Mihad. Jarang sekali beliau berprasangka buruk terhadap orang lain.

Saya paling meminati bahagian di mana Haji Mihad dipanggil untuk disoal jawab oleh pegawai dari Pejabat agama. Di mana, segala persoalan terjawab dengan penuh tertib. Perbalahan di antara Yang Dipertua bersama dua orang pembantunya dengan Haji Mihad sangat dramatik. Biar seberat manapun soalan itu, Haji Mihad dapat menjawabnya dengan hujah-hujah yang bernas berdasarkan pengalamannya semasa menuntut ilmu.

Tetapi, kisah tragis di akhir novel ini sangat menyayat hati. dan sangat-sangat tidak disangka. Semoga ia  tidak terjadi kepada masyarakat kita hari ini.

Novel ini begitu sarat dengan nasihat, panduan tentang agama, mutiara kata, hadis dan beberapa pandangan daripada ulama-ulama tersohor. Buku ini boleh dijadikan sebagai sumber rujukan ataupun tanda aras untuk menulis novel berlandaskan dakwah dan Islam jika anda seorang penulis.

Monday 3 January 2011

Dua ribu sebelas

Salam tahun baru Masihi, 2011. Tahun lepas, tidak banyak perubahan. Boleh dikatakan kekal pada kedudukan yang sama. Tidak ada apa-apa perubahan. Banyak kegagalan daripada kejayaan. Permohonan kerja saya kebanyakannya ditolak. Hampa. Bukanlah kegagalan apa, ia adalah cuma sedikit cabaran untuk mencuba yang lebih baik di masa hadapan.

Tetapi apa boleh buat. Saya selalu memohon agar tidak sekali-kali akan berputus asa dan menyesal dengan kesilapan lalu. Mungkin belum tiba masanya. Rezeki itu ada, Tuhan menjanjikan yang terbaik untuk hambaNya, cuma cepat dan lambat saja. Mungkin sudah tua nanti baru ada rezeki, siapa tahu? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Jadi, tahu baru ini saya ingin melupakan kisah lalu dan cuba untuk berfikir kehadapan. Jika semalam ada pahit, hari ini kita carilah manisnya. Saya hanya mengharapkan yang terbaik dan mohon keberkatan dalam setiap tingkah. Dan berharap 2011 ini dapat menyumbang segala kematangan untuk hari yang mendatang. Ya, moga cabaran itu mematangkan.

Selamat menyambut tahun baru!