Thursday 26 August 2010

Tarawih + kekenyangan + mengantuk= ?


Apabila Ramadhan menjelma, umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa. Selain berpuasa, satu lagi amalan yang dituntut adalah solat sunat terawih. Mari saya terangkan, apa itu solat tarawih sebelum bercerita lebih lanjut.


Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.


Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.


Sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan:

"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:


"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan."

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga. Ingat ya, sekadar dapat memberi tenaga bukan mengikut nafsu. Jadi, kesimpulannya perkara inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa kekenyangan dan mengantuk ketika menunaikan solat sunat terawih. Berbukalah dengan mengikut kadar kemampuan. Lebih afdal lagi, berbuka mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu makan tiga biji kurma.

Selepas ini, jangan la mengantuk ketika terawih lagi ya?

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Tarawih

No comments: