Thursday 26 August 2010

Tarawih + kekenyangan + mengantuk= ?


Apabila Ramadhan menjelma, umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa. Selain berpuasa, satu lagi amalan yang dituntut adalah solat sunat terawih. Mari saya terangkan, apa itu solat tarawih sebelum bercerita lebih lanjut.


Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.


Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.


Sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan:

"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:


"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan."

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga. Ingat ya, sekadar dapat memberi tenaga bukan mengikut nafsu. Jadi, kesimpulannya perkara inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa kekenyangan dan mengantuk ketika menunaikan solat sunat terawih. Berbukalah dengan mengikut kadar kemampuan. Lebih afdal lagi, berbuka mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu makan tiga biji kurma.

Selepas ini, jangan la mengantuk ketika terawih lagi ya?

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Tarawih

Saturday 14 August 2010

Ramadhan Pertama


Dulu, masa di tahun-tahun akhir ketika menuntut di UiTM Kedah, saya pernah membuat pengumuman di laman Friendster (yang kini sudah tidak berapa aktif), tentang Ramadhan Terakhir. Ramadhan terakhir kami sebagai pelajar di sana. Pengumuman saya mendapat respon yang pelbagai daripada kawan-kawan. Tetapi pada hari ini, Ramadhan kali ini saya ingin membuat pengumuman baharu tentang Ramdhan Pertama pula. Orang selalu kata, tanpa permulaan tidak mungkin akan ada pengakhiran bukan? Tetapi kali ini, dengan pegakhiranlah saya ketemu permulaan.

Ramadhan Pertama mungkin boleh jadi tahun lepas, memandangkan saya sudah grad penghujung Mei 2009. Ramadhan pertama selepas tidak bergelar pelajar. Tetapi, saya mahukan Ramadhan Pertama itu untuk tahun ini. Kenapa Ramadhan pertama? Kerana Ramadhan kali ini saya sambut dalam situasi berkerja tetapi bukan berkerjaya. Kerja saya lebih banyak pulang malam. Apa yang pasti, ibadah tarawikh kali ni sudah tentu akan lebih banyak di rumah berbanding berjemaah di masjid seperti Ramadhan sebelum-sebelumnya. Tetapi tidak mengapa. Alah bisa tegal biasa. Terpaksalah teruskan juga. Jangan jadikan pulang lewat sebagai alasan tidak bertarawikh.

Ramadhan kali ini juga merupakan Ramadhan Pertama saya mengambil tempah menjahit baju untuk raya. Kalau sebelum ni saya belum cukup keberanian untuk mengambil tempahan. Tetapi tahun ini saya seratus peratus berani menyahut cabaran. Buat apa ada ilmu tetapi tidak dimanfaatkan, tidak gitu? Ini semua juga atas dorongan keluarga dan teman-teman yang mahukan saya menjahit.

Samaada Ramadhan itu yang pertama atau yang terakhir untuk anda, ingatlah bahawa sesungguhnya Ramadhan itu tetap sama seperti sebelumnya atau yang akan datang. Cuma pahala kita saja yang mungkinkah bertambah ataupun berkurang. Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengunjung blog.

Thursday 12 August 2010

Kenduri Kahwin

Sudah sebulan lebih saya tidak mengemaskini blog ini. Bukan malas, tetapi ada komitmen lain yang lebih penting untuk diuruskan. Sibuk menjahit dan membuat bakul telur sebagai persediaan kenduri kahwin abang saya pada 1 Ogos lalu. Selain bebanan kerja setiap hari dan pulangnya di malam hari. Selepas kenduri, saya sudah boleh menarik nafas lega. Penat lelah selama ini sangat berbaloi. Abang saya juga telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihannya. Kami sekeluarga menerima orang baharu menjelang Ramadhan. Di sini, saya mencoretkan beberapa keping gambar sebagai tetapan dan berkongsi kegembiraan ;)