Sunday 30 May 2010

Meratapi Lentera Mustika


Halaman hadapan buku ini membuatkan saya tertarik untuk membaca. Seperti kebiasaan, memang tabiat saya membaca kerana halaman hadapan sesebuah buku. Saya meminjam daripada kakak. Mula membaca penghujung April dan berakhir semalam. Lebih sebulan tempoh yang saya ambil untuk membaca novel karya Nisah Haron ini. Bukan apa, saya tidak berapa minat permulaan cerita yang terlalu 'sastera'. Biarpun bahasa yang sangat indah, diselitkan pantun yang begitu gemersik, saya tetap membacanya secara pelahan. Namun, lama-kelamaan saya menjadi boring. Perasaan malas mula hadir. Permulaan yang biasa dan biasa saja. Saya mudah berasa boring dengan penulisan tidak banyak dialog. Jadi, pembacaan ini banyak bertangguh. Sengaja ditangguhkan. Malas nak baca. Bila buka semula, kemudian tutup balik. Memang patut la lambat habis.

Selesai membaca, saya dapati novel ini sungguh kaya dengan bahasa-bahasa yang indah. Terutamanya pada pantun yang terdapat disetiap bab. Novel ini memang bebeza dari novel yang pernah saya baca. Berdasarkan latarbelakang penulis dalam bidang perundangan, fahamlah saya tentang isu cerai, talak, edah, mutaah, hibah dan lain-lain lagi (meskipun pernah belajar di dalam subjek Pendidikan Islam tingkatan lima). Penjelasan yang sangat terang dan jelas untuk mereka yang kurang memahami tentang itu. Cara penyampaiannya juga menarik dan begitu santai.

Melalui pembacaan juga, saya dapati penulis sangat seni tentang prosa tradisional seperti gurindam, pantun, syair dan puisi. Teringin juga saya untuk mendengar dengan lebih tepat bagaimanakah bentuk sebenar syair dan gurindam apabila dilagukan. Memang ternyata, penulis dapat menterjemahkan ilmu sasteranya dalam bentuk yang sangat mudah. Secara tidak langsung, saya sedikit mempelajari tentang prosa tradisional.

Memang betullah kata pengulas:

"Kisah cinta golongan ilmuwan yang wajar dimaklumi murbawan. Melalui Lentera Mustika kita diperkaya oleh pengalaman dan diperbijak oleh pengetahuan." - Dato A. Samad Said.

"Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam 'wilayahnya'. Cinta, kemelut, seni dan undang-undang pasti mematangkan pembaca." - Faisal Tehrani.

Satu perkara yang sangat menarik tentang novel ini adalah pantun. Saya suka pantun di dalam bab kedua terakhir.

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Rupanya, maksud pantun ini sangat mendalam dan saya sangat tersentuh dengan pantun ini. Kata penulis, "sayang sekali pantun ini tidak pernah disebutkan pintu syurga yang mana satu. Bayangkan: seorang menunggu dipintu masuk Firdaus, seorang lagi di 'Adnin." Pembayang "kalau tuan mudik ke hulu" itu sudah mengajak orang yang mendengar pulang ke tempat asal - bayangkan untuk orang yang akan mati, iaitu pulang ke Rahmatullah. "Bunga kemboja" pula bunga yang biasa dilihat di kawasan perkuburan. Pembayang ini sesuai dipadankan dengan maksud pantun tentang kematian. Sungguh mendalam. Tidak pernah terfikirkan perkara ini.

Namun, ending cerita agak mengejutkan. Seperti belum habis. Mungkin ada sambungannya nanti. Tunggu sajalah. Secara keseluruhan, novel ini sesuai dibaca untuk mereka yang inginkan kelainan. Bukan sekadar cerita cinta biasa, tetapi padat dengan ilmu yang berguna, ilmu sastera, perundangan dan juga ilmu tentang Islam. Dalam kelembapan saya membaca novel ini, rupanya ada sesuatu yang berharga yang saya peroleh seusai membaca novel ini. Selamat membaca.

***** Lima bintang untuk novel ini!

Friday 28 May 2010

Kerja baharu lagi

Alhamdulillah, selelepas berhenti kerja sebagai tukang cuci, kini saya sudah punyai pekerjaan baharu. Bermula 13 Mei lalu, saya memulakan khidmat sebagai pembantu jualan di kedai gambar. Dekat dengan rumah saja. Tidak jauhpun. Memandangkan entri ini ditulis selepas dua minggu saya bekerja, ingin saya simpulkan di sini bahawa kerjanya sangat releks. Duduk-duduk saja. Kalau ada pelanggan datang, saya layanlah. Kalau tidak ada, saya hanya duduk saja. Termenung sampai mengantuk. Dan masa yang ada itu, selepas hari-hari yang berikutnya, saya isikan dengan membaca buku semahu mungkin. Ini kerana ketika di rumah saya tidak dapat membaca kerana ada komitmen lain yang perlu diutamakan.

Sepanjang minggu pertama, saya diajar cara-cara menggunakan mesin fotostat, fax masuk dan keluar, tangkap gambar pasport, cuci gambar instant, edit gambar, tambah nilai e-load dan pegang duit beratus-ratus setiap hari.

Perasaan saya sangat seronok bekerja di tempat baharu. Dapat jumpa kawan baharu, majikan baharu, jumpa pelanggan yang pelbagai ragam dan kerenah. Kesimpulannya, saya belajar banyak perkara baru. Terima kasih kepada Tuhan, kerana mengizinkan saya bekerja apapun tanpa memilih.

Wednesday 12 May 2010

Belajar memasak dengan 5 Tahun 5 Bulan


Seronok betul membaca novel tulisan Hlovate. lain daripada penulis novel yang pernah dibaca. Kelainannya dari segi intipati cerita. Selama saya membaca dari bab awal hingga akhir, ada saja 'resepi' masakan yang sedap-sedap. Seronok juga kalau sekali-sekala membaca novel seperti ini. Sesuatu yang baharu (walaupun novel ini tahun terbitannya 2007).

Membaca buku ini tidaklah terlalu membosankan, kerana setiap bab diungkap dengan persoalan. Di akhir setiap bab pula mesti ada persoalan yang membuatkan saya tertanya-tanya. Persoalan ini diterjemahkan pula di dalam bab seterusnya atau bab yang akhir. Jadi saya tidak mudah berasa mengantuk ketika membaca dan berteka-teki sendirian sebelum membaca bab yang seterusnya.

Sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah buku cerita, tentu ada sesuatu yang kurang menyenangkan dengan penulisan atau perkataan yang selalu saja dibaca dari mula hingga akhir buku. Untuk 5 Tahun 5 Bulan sendiri, saya tidak suka bahagian Quizilla atau lebih tepat kuiz berkenaan peribadi seseorang. Bukan sedikit, tetapi banyak. Kadang-kala sampai tiga muka surat terjemahan kuiz. Saya tidak berapa suka bahagian itu kerana terlalu memikirkan personaliti watak utama, Ana. Jadi saya skip bahagian yang ada Quizilla.

Bercakap tentang perkataan pula, penulis lebih banyak menggunakan bahasa pasar seperti pulak, aje, jugak, takde dan macam-macam lagi. Selain tu, yang saya tidak berapa nak suka, dari awal hingga akhir bab, penulis tak tinggal perkataan aci redah, putus fius. Perlu ke letak perkataan seperti itu? (untuk lebih faham dapatkan novel ini).

Penulis meletakkan watak Ana sebagai telalu banyak bemonolog. Monolog yang terlampau, sehinnggakan memikirkan tentang ungkapan yang saya rasa tak patut. Sehinggakan, saya pernah berasa seperti membaca diari Ana. Bagi saya, penulis tak perlulah menyatakan dengan terperinci sangat monolog Ana seperti sebuah diari.

Dan bahagian yang palin saya suka adalah memasak. Tidak kira samaada watak Ana, Jebat, Yaya mahupun Along, pasti akan diselitkan resepi menarik. Contohnya Ana sedang berbual dengan Yaya di telefon ketika Yaya sedang membuat praline and cream, di sertakan sekali resepi, nasi ayam, peach cobbler, sandwich roll dan macam-macam lagi.

Sinopsis

Menjadi orang gaji di rumah Encik Latfy sebenarnya tidak sesusah mana kalau tidak kerana Along Serbia yang sarkastik tu...

Ini bukan asam pedas ni. Dah macam masam-kelat-pedas aje.
Masin sangat la ni. Lain kali nak letak garam banyak mana timbanglah dulu.
Nak bagi kita orang kena diabetes ke Cik Ana oi...?
Bancuh Along kopi. Kurang gula. Tapi campur sikit honey.

Namun inilah permulaannya dia belajar menajdi seorang Ana... dan dari sini jugalah Ana semakin dewasa dalam setiap episod kehidupannya....

Kata Ana: Saya bukan orang yang dicari, Along. Ana yang Along kenal bukan Jo yang sepatutnya Along kenal.

Kata hati Along: Tanpa diduga dia mengenali seorang Jo di dalam Ana.

Siapa Ana? Dan siapa pula Jo di dalam hidup Along?

Sepertimana dia cekap sebangai orang gaji begitulah dia 'cekap' mengendalikan dirinya sebagai pelajar di Universiti of Aberdeen. Namun apabila datang bab 'hati' ada yang tidak kena dengannya sejak mula. Hatinya pernah berperi:boys're stupid. Some men too.

Hlovate mengungkap roman-komedi ini dalam bahasa basah serta jenaka yang selamba. Pelajar luar Negara ini mengadun 5t5b secukup rasa; enak di mulut; berkhasiat di minda; penawar di hati…mengisi nurani.


*** Tiga binatang untuk novel ini.

Monday 10 May 2010

Seusai Bengkel Menulis Cerpen bersama Puan Nisah Haron

Sabtu lalu, saya meluangkan masa untuk menghadiri bengkel penulisan cerpen yang belum pernah dihadiri sebelum ini. Kebanyakan bengkel yang pernah saya hadiri hanyalah bengkel puisi dan penulisan yang tidak dispesifikkan bentuk penulisannya. Jadi, pemergian saya ke bengkel menulis cerpen tempoh hari sangat mengujakan.

Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah bagaimana cerpen saya yang bertajuk Sebuah Impian (tajuk yang tidak tepat dan amat diragui oleh saya) dibedah. Pada awalnya, cerpen ini saya tulis untuk dihantar ke penerbitan Tunas Cipta. Tetapi, saya ingin mencuba nasib mengetengahkan cerpen ini ke Bengkel Penulisan Puan Nisah dahulu sebelum dihantar.
Seperti yang sudah dijangkakan, cerpen saya dibedah dengan begitu tragis sekali. Mamandangkan ini adalah cerpen sulung saya (tidak termasuk cerpen 'buruk' saya semasa di alam persekolahan), jadi saya sudah berteka-teki dari rumah, kritikan apa yang akan saya terima.
Komen Puan Nisah Haron:
1. Judul cerpen saya tidak bersesuaian dengan jalan cerita (working title). Memang saya sudah menjangkakan perkara ini akan ditegur. Tajuk cerpen saya sentiasa berubah-ubah dari awal saya merangka cerpen ini. Tajuk cerpen Sebuah Impian diletak atas keterpaksaan.

2. Kaitan alam dengan perasaan sangat baik. Target saya memang untuk menarik pembaca dengan bahasa alam. Tetapi, adakalanya imaginasi saya terhadap alam terlalu padat sehingga mengganggu penceritaan. Tidak perlu huraian terlalu mendalam tentang keadaan cuaca (sudah macam ramalan kaji cuaca kata Puan Nisah).

3. Watak sampingan yang terlalu ramai. Cukup sekadar dua hingga tiga orang. Tidak perlu watak yang tidak berfungsi. Ada watak, tetapi tidak membantu. Cerpen adalah cerita yang pendek dan padat, jadi tidak perlu watak yang muncul tetapi tidak membantu hingga akhir cerita.

4. Tidak cukup dramatik. Konflik yang ditrjemahkan tidak cukup besar dan tidak terlalu kuat. Perlu bina masalah yang lebih konflik dan rumit untuk diselesaikan. Semakin banyak masalah (konflik), semakin mantap sesuatu cerpen (penyelesaian juga perlu kukuh).

5. Ikatan sebab dan akibat yang longgar. Saya terlupa, apakah punca yang menyebabkan kegagalan (masalah watak utama).Mesti ada punca, akibat dan penyelesaian (konflik).

Komen Ustaz Amiza Khusyri:
1. Teknik panorama (watak alam) dengan manusia amat kuat dan berkesan. Gaya bahasa juga bagus.

2. Isu tidak terlalu besar. Kena perbesarkan masalah untuk menghasilkan konflik yang lebih berkesan.

3. Tajuk mungkin terpengaruh dengan novel (memang tajuk cerpen saya tidak bersesuaian).

5. Kebaikan cerpen, nasihat yang baik. Tetapi masih lagi terapung-apung. Plot yang longgar dan bertempel-tempel.

Itu adalah komen dua orang kuat di bengkel penulisan. Komen daripada reserta yang lain jug a tidak kurang hebatnya. Rata-rata mereka memberikan komen yang lebih kurang sama. Bahasa yang indah dan puitis. Banyak menggunakan unsur alam. Nasihat dan mutiara kata yang berguna (Puan Zalila Isa perli, katanya tidak sia-sia saya buka kamus mutiara kata). Tetapi tidak, kata-kata nasihat itu say peroleh dari pelbagai sumber termasuk sumber Hadis dan Al-Quran. Selain tiu, masalah yang dihadapi watak utama sudah biasa. Cadangan untuk carikan suatu kelainan lagi. Konflik yang lebih terkesan. Watak yang saling sokong-menyokong. Jalinan persahabatan yang baik.

Menurut Puan Nisah, saya perlu merehatkan cerpen Sebuah Impian seketika, ambil sedikit masa dan fikirkan idea baharu, kemudian mula mengedit cerpen tersebut. Baiki kesilapan semasa pembedahan. Ambil idea yang diberi kemudian, sudah siap...hantar terus ke Tunas Cipta. jangan ditangguh-tangguh lagi.

Bermula pada hari ini juga, saya perlu menggiatkan diri sendiri supaya menulis cerpen dengan dengan banyak dan hantar ke editor sebanyak mana yang mungkin. Bila lagi nak publisitikan karya sendiri kalau asyik simpan dalam fail saja.Mudah-mudahan nanti.

Bengkel penulisan ini sangat berguna dan saya peroleh banyak manfaat daripadanya. Terima kasih kepada Puan Nisah Haron yang sudi membedah cerpen saya dan kepada semua yang terlibat dalam bengkel tersebut. Harapan saya selepas ini, cerpen hasil tulisan saya mesti sampai ke tangan editor sedikit masa lagi.

Tuesday 4 May 2010

Aku Cinta Masjid (ACM)

Untuk menjadi seorang yang kuat beribadah, kita boleh menubuhkan AMC (Aku Cinta Masjid). Seorang Muslim dengan masjid ibarat ikan dengan air. Tidak mungkin seorang Muslim itu tidak selesa dengan masjid. Malah, seseorang yang tidak akrab dengan masjid boleh diragukan keimanannya.

Ikhtiar untuk mewujudkan rasa cinta terhadap solat dan masjid adalah dengan berusaha menunaikan solat tepat pada waktunya, di masjid dan dilakukan secara berjemaah. Cara paling mudah untuk melaksanakannya adalah dengan datang lebih awal ke masjid untuk menunggu tibanya waktu solat. Petua untuk istiqamah solat pada awal waktu adalah dengan menjadi penunggu waktu solat.

Saudaraku, di tengah keadaan yang semakin sukar sekarang, tidak ada yang mampu menolong kita selain Allah SWT. Satu daripada ikhtiar untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT ialah dengan meningkatkan pengenalan kita kepada-Nya. Cara mencapainya adalah dengan beribadah secara istiqamah.

(Petikan ini saya peroleh daripada akhbar Berita Harian dan majalah Anis)

Saturday 1 May 2010

Cerita si tukang cuci...

Semalam merupakan hari terakhir saya bekerja sebagai tukang cuci atau cleaner. Saya sengaja memilih tarikh semalam (30 April 2010), kerana Jumaat hari yang paling tepat, hari terakhir bulan April. Tiga hari berturut-turut sebelum semalam, ada saja peristiwanya. 28 April, tarikh saya mendapat gaji terakhir (seronok), 29 April hari lahir saya yang ke-22 tahun (seronok juga), dan 30 April hari terakhir sebagai tukang cuci (seronok dan sedih).

Tugas saya di Kolej Integrasi Ilmu, Feldajaya Raja Alias ialah menyapu kelas dan koridor. Kemudian, bersihkan pejabat yang menempatkan bilik boss dna staf. Bilik pensyarah pun saya. Selepas menyapu dan membersih, saya mencuci pula. Cuci tandas. Antara yang paling letih ialah membersihkan dewan makan, menyapu dan mop lantai (saya akan sakit perut selepas setiap kali pulang dari dewan makan, penat sangat). Kalau ada masa terluang, saya cuci tingkap.

Malu? Ya, saya sangat malu bekerja sebagai tukang cuci. Tapi ini yang saya pilih dengan alasan mahukan pengalaman berharga. Saya malu sebab terpaksa berjumpa dengan kebanyakan orang. Mereka yang segak bergaya, pelajar-pelajar kolej yang tentunya pelbagai ragam. Sedangkan saya, memegang penyapu saja. Semasa di uni saya dulu, ada juga ctukang cuci di kolej saya. Dan kini baru saya tahu apakah perasaannya makcik cleaner sewaktu membersihkan kolej tempat tinggal saya dulu. Tapi semuanya alah bisa tegal biasa, bukan? Mula-mula memang segan, tapi saya tabahkan hati. Ingat niat kita kerja kerana Allah selain nak dapatkan duit daripada mengganggur tidak dapat apa. Sesekali nak juga merasa jadi orang bawah. Ya, memang bawah sebab tempat saya berehat di bawah tangga! (rasa macam Harry Potter pun ya juga)

Tidak ramai yang tahu status saya sebagai tukang cuci. Hanya mereka yang terdekat saja. Bukan malu untuk dihebohkan. Tapi, ianya pasti akan mendapat tentangan pelbagai pihak. Ahli keluarga terutamanya. Ada saja yang menentang. Katanya, tidak layak kerja tukang cuci kalau sudah ada diploma. Bagi saya, bukan tidak layak, tapi terlebih layak!

Sedih juga nak tinggalkan kawan-kawan dan makcik-makcik cleaner yang lain. Mereka banyak membantu. Dua bulan lebih buat kerja bersama dengan mereka semua. Daripada kerja ini, saya tahulah pencuci apa yang paling wangi untuk lantai, perabot, cermin, tandas. Kalau nak cuci cermin kasi betul-betul berkilat juga ada caranya. Tandas juga begitu kalau nak sentiasa segar baunya. Pewangi apa untuk tandas, bilik tidur, pejabat. Juga menepati masa sewaktu bekerja. Banyak yang dipelajari. Hari terakhir saya di sana semalam, saya buat sedikit jamuan perpisahan dengan cleaner yang lain. Semoga perkenalan singkat ini berkekalan dan diberkati Allah.