Thursday 11 March 2010

Pahala Yang Bertambah dan Berterusan

Risalah tazkirah 4 minit ini saya peroleh di surau tempat saya berehat waktu tengah hari di tempat kerja. Bersepah-sepah di atas lantai. Saya ambil satu dan bermuhasabah diri membacanya. Di sini, saya mahu kongsikan bersama.


Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang mengajak kepada hidayah (kebaikan), maka baginya pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikutnya selapasnya, (serta) tidak berkurangan pula pahala orang yang mengamalkannya, dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang mwmbuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikitpun. –HR Imam Muslim.

Sebab itulah kalau kita perhatikan pahala orang-orang alim dan para pendakwah yang mendidik anak-anak kita dan para remaja sehingga menjadi ornag Islam yang baik, akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya, hanya Allah sahaja yang mengetahui kiraannya. Sebab pahala mereka tidak putus-putus dan sentiasa bertambah dan berlipat ganda sehingga berjumpa Allah Ta’ala nanti di akhirat.

Begitu juga ibu bapa yang mendidik anak-anaknya kepada didikan Islam dan mengajak mereka supaya sentiasa taat dan takut kepada Allah Ta’ala, mereka bukan sahaja mendapat pahala orang yang telah mendapat hidayah tadi, bahkan amalannya serta keluarga dan teman-temannya yang mungkin satu hari nanti mendapat hidanyah juga, akan diberikan pahala mereka semua kepada yang mula-mula sekali menghidayahkan orang tadi.

Jadi alangkah baiknya jika ilmu-ilmu agama dapat disedekahkan/dihebahkan kepada orang lain dengan pelbagai cara (fotostat, SMS, emel, kuliah, nasihat dll) kerana InsyaAllah kita akan mendapat pahala yang tidak terkira banyaknya. Jangan berlengah dan segan-segan. Segala perbelanjaan dan usaha tenaga dalam kerja dakeah ini akan dianggap sebagai amalan sedekah, maka akan berterusan pahalanya walaupun selepas wafatnya. Umpama menanam sebutir gandum yang menghasikan 7 tangkai, setiap tangkai menghasilkan seratus biji dan teus membiak hingga tidak terhitung jumlahnya. Rujuk Al-Baqarah, ayat 261. Asalkan kita ikhlas dalam melaksanakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Akan tetapi, AWAS! Jangan menyebar ilmu yang boleh merosakkan masyarakat kerana perkara ini amatlah dikeji.

Kaum wanita juga perlu menyedari bahawa dengan mendedahkan auratnya (berpakaian yang sendat, Jeans ketat di punggung, terdedah rambutnya dll), setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di suatu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikitpun kurang dosanya.” (Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sahih)

Termasuklah dalam entri mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki yang melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? Setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya? Ramai wanita yang bertudung, tetapi tidak menutupi dada, berbaju ketat/singkat dan berseluar sendat yang jelas menonjolkan alur punggung juga dikira tidak menutup aurat dengan sempurna kerana ia masih mengundang fitnah (godaan).

Luqman al-Haqim memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai matapelajaran tauhid. Makna tauhid pun tak tahu. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? Ada anak-anak mereka sempurna mendirikan solat lima waktu, tapi dalam masa yang sama mendedahkan aurat di khalayak ramai. Maknanya akidah anak mereka masih belum sempurna sebab ada ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh bab aurat – tidak mereka patuhi. (rujuk Surah Al-Ahzab: 59)

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan.

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Hentikanlah tabiat kita yang buruk selama ini. Misalanlah kalau anak-anaknya selalu melihat tabiat bapanya yang kaki judi, kaki rokok atau kaki belit, tak mustahil anak-anak dan keturunannya akan mewarisi sikap ini. Sanggupkah kita menanggung dosa terus menerus kerana mempelopori sesuatu kemaksiatan? Jadi, tunjukkanlah sikap yang baik pada anak-anak. Niat yang baik, InsyaAllah dapat yang baik.

Sekian, terima kasih.

Salam penuh ukhwah...;)

No comments: