Friday, 12 February 2010

Bekerja di Belakang Tabir

Sebelum saya menceritakan kerja apa yang saya lakukan di belakang tabir, saya ingin memberitahu beberapa perkara terlebih dahulu. Tawaran untuk bekerja di restoran The Chicken Rice Shop (TCRS) di Sunway terpaksa ditolak di saat-saat akhir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Biar terasa rugi yang teramat, saya terpaksa berbuat demikian atas pelbagai faktor. Jadi, saya terpaksa mencari pekerjaan lain. Hmmm, apa la nasib. Bukan mahu menolak rezeki biarpun hal yang sama terjadi semasa saya diterima untuk mengikuti projek usahawan Tunas Mekar, cuma banyak perkara lain yang harus saya fikirkan.

Selepas beberapa hari saya membuat keputusan itu, saya mendapat panggilan daripada Cik Som, penyelia di Kolej Integrasi Ilmu (Kini) Feldajaya Raja Alias, yang tidak jauh dari rumah. Saya dipanggil untuk bekerja sebagai cleaner di kolej tersebut sebab dulu saya pernah bertanyakan kekosongan. Saya menerima, tanpa berfikir panjang. Ya, saya terima! Saya tidak kisah kerja apapun, asalkan tugas yang saya lakukan itu membuahkan duit! Saya perlukan wang. Betapa perit dan tersiksanya hidup sebagai penganggur. Bukan tidak pernah menghantar permohonan. Sudah acap kali bahkan sudah puluhan resume dihantar, tetap tiada jawapan. Jadi, untuk menghilangkan kerunsingan, kecelaruan dan kekecewaan, saya terus mendaftar dan bekerja di sana untuk menimba pengalaman ‘berharga’ sebagai cleaner. Bukan semua orang nak kerja macam tu kan? Jadi saya anggap, itu suatu cabaran buat saya.

Hari ini, di saat saya menulis entri ini saya baru saja melepaskan lelah dari kerja yang sudahpun memasuki hari kedua saya di sana. Semalam saya mendaftar, diberi tunjuk ajar dan berkenalan dengan makcik-makcik cleaner yang lain. Salah satu sebab saya menerima bekerja di sini tanpa teragak-agak adalah waktu kerjanya yang tersangatlah fleksibel. Masuk seawal jam 7 pagi dan tamat pada jam 4 petang. Rehat 10 hingga 10.30 pagi dan 1 hingga 2 petang. Sambung kerja 2 jam lagi sudah boleh pulang dan berehat. Betapa bagusnya waktu bekerja macam ni. Kerja yang saya lakukan juga tidaklah susah mana. Sekadar membersihkan kelas, menyapu dan mop lantai. Selepas menyapu kelas, saya perlu memasuki ke pejabat. Membersihkan di bilik pengurus adalah satu cabaran kepada saya dan memerlukan perhatian yang sepenuhnya. Dari pintu masuk hinggalah ke bawah meja, mesti bersih dan kemas. Pastikan meja dilap bersih, tiada kesan cop jari. Lantai disapu dan dimop. Almari juga harus di bersihkan dari segala habuk. Paling yang amat dititik-beratkan adalah cop jari. Tidak boleh ada. Sebab itu saya perlu berhati-hati. Ini bilik pengurus merangkap pengarah kolej. Tidak boleh ala kadar. Selepas bilik pengurus, saya ke bilik pensyarah pula. Macam bilik guru. Bukan bilik persendirian. Saya suka masuk ke ruang pejabat kerana kawasan itu semua dilengkapi penghawa dingin. Dapatlah menghilangkan lelah sekejap biarpun tangan kekal ligat mengelap habuk.

Selepas selesai mengemas di dalam bilik, saya perlu mencuci tandas, dewan makan dan show room. Perkara yang sama saya lakukan untuk hari-hari yang akan datang. Pernah saya terfikir, kalau di bilik pengurus tu, sampaikan habuk dah tak berani nak melekat asyik dilap setiap hari. Bukan saja dilap, digosok, ditenyeh malahan. Semua kerja ni saya lakukan berdua. Tugas kami semua perlu memastikan keadaan kolej sentiasa berada dalam keadaan yang kemas, bersih dan teratur. Kalau ada pelawat, tentu mereka akan senyum melihat persekitaran yang sentiasa kemas. Ini semua hasil kerja di belakang tabir. Kamilah yang membuatnya manjadi begitu. Tandas menjadi bersih sebab kami yang buat. Bagi pihak atasan, semuanya perlu tampak bersih! Saya dapat rasakan perasaan yang dirasai oleh makcik cleaner semasa di UiTM Kedah dulu. Menyapu sampah di koridor, kemudian ada sekumpulan pelajar meminta laluan. Mana yang berbudi meminta laluan. Ada juga yang tidak sekadar menerjah. Masing-masing kelihatan segak dengan pakaian yang kemas, kasut tumit tinggi yang berdetak setiap kali berjalan dan meninggalkan wangian saja pada saya. Tetapi, saya kuatkan semangat. Jangan sekali-kali menyombong degan mereka. Saya kena ikhlaskan hati untuk bekerja. Ingat! Kau dulu pernah berada di tempat mereka tanpa memahami perasaan mereka di kaki lima memegang penyapu! Ya, saya ingat. Saya anggap ini satu cabaran. Hidup ini boleh jadi macam-macam, bukan? Jadi pesanan saya kepada anda semua, senyum-senyumlah kepada makcik ataupun kalau ada yang muda, kakak cleaner (macam saya) ya? Supaya hati mereka, saya juga senang dengan senyuman itu…;)

Wednesday, 10 February 2010

Di Sebalik Konserto Terakhir dan Sebuah Intermeso


Apa yang ingin saya sampaikan di sini bukanlah ulasan mahupun sinopsis buku ini yang rata-ratanya telah dibaca ketika di Tingkatan Lima. Tetapi, perkara yang ingin saya kongsikan adalah kekaguman dan keterujaan saya terhadap buku ini. Buku Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain yang juga merupakan teks komsas tingkatan lima sejak tahun 2001, TIDAK PERNAH saya baca sehingga tamat Tingkatan Lima. Saya hanya mempelajarinya melalui buku rujukan komsas. Biarpun guru Bahasa Melayu saya pernah acap kali mengatakan buku ini sangat bagus dan sedih, namun tidak pula berjaya meruntun hati saya untuk membacanya. Pernah juga berkali-kali saya mencuba untuk membacanya. Tetapi cukup sekadar dua, tiga bab. Selepas itu, saya jadi malas untuk meneruskannya. Perkara yang sama saya ulangi untuk waktu-waktu yang berikutnya. Sehinggalah tamat Tingkatan Lima, saya tidak juga khatam novel tersebut.

Kini, sehingga detik ini dan pada akhir-akhir ini, hati saya sering terusik dengan buku Konserto Terakhir. Semacam ada sesuatu di dalam hati saya menggamit-gamit diri ini untuk membaca buku itu. Kata-kata Cikgu Masri, guru Bahasa Melayu saya suatu ketika dahulu seperti terngiang-ngiang di telinga. Lalu, saya memikirkan bagaimanakah caranya untuk mendapatkan buku tersebut. Ada juga terdengar cakap-cakap atas angin bahawa komsas Tingkatan Lima sudah diperbaharui. Sudah ada buku yang baharu. Perkara ini membuatkan hati saya sedikit tawar untuk mendapatkannya tanpa bertanyakan dahulu kepada pelajar Tingkatan Lima. Saya redakan permintaan hati ini. Tetapi tidak lama. Kerana hati saya seakan tidak mahu reda. Seperti ada bola sebesar biji guli yang menendang-nendang mahu memecahkan hati saya selagi buku itu tidak saya dapatkan. Kenapalah saya tidak dapatkan saja daripada pelajar tingkatan lima sendiri. Tapi, hati saya berkata, jangan pinjam! Beli saja dari kedai! Itu lebih baik. Boleh buat rujukan meluas.

Saya turutkan juga kata hati. Tanpa membuang masa, saya memberanikan diri untuk menjengah kedai-kedai buku untuk sedaya-upaya mencari buku itu. Jika tidak ada juga, semahunya saya menuntut pihak penerbitan buku itu supaya mengulang cetak untuk saya. Ternyata itu sekadar perasaan. Saya hanya pergi ke sebuah kedai buku sahaja untuk mendapatkan buku itu. Pada mulanya, saya sedikit ragu-ragu untuk memasuki kedai buku tersebut. Semacam keberatan mulut untuk bertanya. Takut juga buku itu tidak dijual memandangkan ia adalah buku teks sekolah. Namun, setelah bersoal jawab dengan pemilik kedai buku, akhirnya pada tanggal 28 Januari tahun ini, buku Konserto Terakhir dapat juga saya miliki. Bukannya bersoal jawab apa. Saya cuma mahukan kepastian darinya. ‘Ada jual buku Konserto terakhir tak? Benarkah teks komsas tingkatan lima telah diperbaharui?’ Katanya ada. Hanya tingkatan satu dan empat saja yang diperbaharui. Ooh...begitu. Mujur saya cepat. Jika saya terlewat setahun atau dua tahun lagi, tentu novel tingkatan lima juga akan diperbaharui tidak lama lagi. Dan sudah tentu buku itu sudah tidak dijual.

Hati saya kini berasa senang dan girang setelah dapat memiliki buku tersebut. Bola kecil yang menendang-nendang di dalam hati saya kini sudah lenyap. Tak tahu mana hilangnya. Saya pasti, bola kecil itu mungkin telah bertukar menjadi kuntuman bunga yang mekar berputik. Cantik dan berseri-seri. Saya pulang ke rumah dan terus sahaja membaca buku yang pernah menjadi impian. Namun, atas kesuntukan masa disebabkan berhadapan dengan pelbagai komitment lain, buku itu terpaksa saya baca sedikit demi sedikit dan beransur juga ke penghujung muka surat pada 2 Februari lalu.

Perasaan saya usai membaca buku ini tersangatlah kagum! Saya kagum dengan penulisnya yang dapat menghasilkan sebuah cerita yang lebih menjurus ke bidang muzik. Sama ada penulis pernah belajar muzik ataupun sekadar membuat kajian untuk bukunya itu tidak pasti. Selain berlatarkan muzik, cerita ini saya menjangkakan penulis mengambil latar tempat dan masa sekitar tahun 60-an atau 70-an memandangkan buku ini terbitan pertamanya tahun 1980. Saya tidak dapat gambarkan tambang bas hanya sepuluh sen dan gaji sebagai tukang kebun sekalipun sebanyak dua puluh ringgit waktu itu! Jika diberi peluang walaupun beberapa saat, terasa saya mahu terbang ke waktu dahulu. Zaman muda-muda emak dan abah. Ingin melihat sendiri keadaan Kuala Lumpur suatu ketika dahulu seperti yang diceritakan di dalam buku ini. Bagaimanakah orang-orang kuala Lumpur pada waktu dahulu berbanding waktu ini. Saya kagum juga dengan watak Hilmi yang begitu tabah dengan dugaan hidupnya. Membuatkan saya menginsafi diri sendiri kerana saya yang hidup di masa yang boleh dikatakan senang di zaman ini sering saja menyalahkan. Selalu saja mudah mengalah dengan musibah. Tidak seperti Hilmi, hidupnya susah. Sanggup bekerja apa saja untuk menyara hidup, namun dia tetap kuat. Duhai, saya begitu terpukul! terkena batang hidung sendiri disaat saya sedang terkapai-kapai tanpa pekerjaan biarpun bukannya bersekolah setakat Darjah Empat Sekolah Melayu. Insaf.

Saya tidak menangis di penghujung cerita biarpun kesudahannya adalah kesedihan. Saya cuma berasa sebak dengan pemergian Hilmi. Walaupun sesekali tu ada juga terasa kehangatan air di kelopak mata yang tidak sekalipun tertumpah. Fikiran saya terlalu ligat berfikir tentang kehidupan seorang seniman muzik. Biarpun hidupnya telah berjaya dikecapi dengan menempa nama yang begitu hebat dalam orkestra, namun kegembiraan tidak semuanya indah. Hilmi yang tabah untuk berjuang menjadi seorang pemuzik juga mengalami kegagalan rumah tangga. Malah, orkestra terulungnya juga tidak sempat dipimpin setelah bekerja keras untuk itu. Saya kasihan sangat dengan Hilmi. Membaca Konserto Terakhir ibarat saya membaca biografi seorang seniman. Saya dapat menyelami perasaan Hilmi sehingga ke akhir hayatnya. Susah senang yang dilaluinya terlalu mendalam. Terdetik di hati saya untuk bertemu penulis, Abdullah Hussain. Ingin bertanyakan bagaimanakah beliau boleh menghasilkan karya klasik moden yang boleh juga dikatakan karya masterpiece, yang pastinya diingati sampai bila-bila. Tidak tahu beliau masih ada atau tidak. Betapa menyesal saya tidak membacanya sejak dulu. Konserto Terakhir banyak menginsafkan saya tentang kehidupan selain mengkagumi kebesaran yang Esa.

Kesimpulannya, Konserto Terakhir adalah cerita kehidupan. Cerita kepayahan. Cerita kemanisan. Cerita perjalanan hidup daripada kesusahan kepada kesenangan. Cerita tentang darah, darjat, cinta, lagu dan irama. Sebuah Intermeso di pentas hidup. Dari sini juga saya mendapat ilham untuk tajuk blog saya, SEBUAH INTERMESO, iaitu judul lagu gubahan pertama Hilmi. Menurut Pak bakar, iaitu guru muzik hilmi: ‘Intermeso itu macam-macam. Apa saja boleh jadi.’ Jadi saya anggap intermeso itu bukan sekadar gubahan muzik. Tetapi mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Saya namakan ia ‘SEBUAH INTERMESO DI BELANTARA HIDUP’.

Konserto Terakhir

Cerita darah
Cerita darjat
birunya darah
pogahnya darjat
Cerita lagu dan irama
lagu jasad tegar
irama nurani sunyi
Cerita cinta
Cerita luka
Cerita Konserto Terakhir
Sebuah Intermeso di pentas hidup

(Petikan dari novel Konserto Terakhir)

Sunday, 7 February 2010

Pengalaman Indah

Kampus UiTM di kaki Gunung Jerai tinggal kenangan

(untuk tatapan teman-teman yang tidak sempat membaca akhbar Berita Harian bertarikh 4 Februari 2010)

Pada mulanya saya agak keberatan untuk berjauhan dari keluarga ketika menerima tawaran mengikuti pengajian Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah di Merbok, Sungai Petani, Kedah. Demi mengejar impian, saya mencabar diri untuk kekal di institusi itu. Sepanjang tempoh pengajian, rakan-rakan adalah keluarga baru saya. Kami berkongsi segala suka duka bersama. Walaupun kami datang dari negeri berbeza, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor malah saya sendiri dari Negeri Sembilan, kami tidak mengalami sebarang masalah komunikasi walaupun dialek digunakan berbeza. Saya berkesempatan belajar dialek mereka dan kadangkala sama-sama ketawa apabila mendapat tahu beberapa perkataan yang kelakar bunyinya, namun mereka tidak kisah . Perkara biasa bila kita berada di tempat orang. Ada juga yang sudah berjaya menguasai dialek Kedah hanya di semester pertama.

Kampus UiTM Kedah terletak di lokasi yang amat strategik meskipun berada di penghujung bandaraya Sungai Petani selain dikelilingi pokok getah dan keindahan sawah padi. Saya amat bertuah kerana berpeluang menimba pengalaman di negeri jelapang padi ini. Selain berlatar belakangkan pemandangan Gunung Jerai, lokasi UiTM juga berdekatan dengan tapak perlancongan Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Terdapat banyak replika candi Lembah Bujang di sana yang kebanyakannya cukup unik jika dijadikan lokasi untuk mengabadikan gambar sebagai kenangan mahupun foto perkahwinan. Selain lokasinya yang terletak di kaki Gunung Jerai, ia juga bersebelahan dengan air terjun yang mengalir dari atas gunung. Cukup mendamaikan.Tanjung Dawai terletak kira-kira 10 kilometer dari kampus dijadikan 'port' pelajar bersantai pada hujung minggu. Sambil menikmati hidangan, dapat pula menyaksikan pemandangan indah matahari terbenam. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati keseronokan di sana.

Tiga tahun menimba ilmu, menyedarkan saya betapa Kedah kaya dengan khazanah alam. Lambakan tapak perkhemahan di sekitar negeri ini juga daya tarikan untuk bercuti mahupun menjalankan aktiviti persatuan. Titi Hayun, Sedim, Lata Mengkuang, Lata Chelak, Lata Bayu, Air Terjun Bendang Man, Air Terjun Tupah, Kem Singkir (sebut betul dengan dialek Kedah ialah Singkiar), Bukit Hijau, Serendah Sekebun Bunga, Pantai Merdeka dan beberapa tempat lagi yang tidak disebut, sememangnya menjadi tumpuan pelajar untuk mengadakan aktiviti.

Semester akhir adalah kemuncak segala-galanya apabila saya dan rakan sekelas berbincang apakah cara yang boleh menutup kisah tiga tahun kami di UiTM Kedah sebagai kenangan Happ
y Ending yang tidak akan dilupakan. Kami akhirnya bersepakat untuk berkelah di kawasan air terjun Bukit hijau. Kami mengumpul wang bagi menampung perbelanjaan untuk berbeku seperti ikan, ayam, sosej, nasi serta makanan tambahan lain. Setelah tiga tahun kami bersama satu kelas, masih ada yang belum mengenali antara satu sama lain. Di sinilah segala persoalan terjawab. Membuatkan perpisahan di hujung semester nanti terlalu sukar untuk dihadapi.

Itu adalah percutian pertama dan terakhir kami sebagai rakan sekelas. Kini masing-masing sudahpun tamat Diploma. Ada yang menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam mahupun cawangan dan ada juga yang bekerja. Biarpun kini kami sudah jarang berjumpa, namun tetap kekal berhubung melalui telefon dan internet.


SITI SALHA MD ROSMAN

JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

(ini adalah teks penuh yang tersiar di akhbar Berita Harian dalam sisipan Varsiti bertarikh 4 Februari 2010. Sebenarnya ada lagi, tetapi disunting oleh editor. Saya sediakan untuk anda.)

Percutian Bukit Hijau pasti tidak akan dilupakan. Namun ada dua perkara yang tidak sempat saya tunaikan. Yang pertama, saya tidak berjaya menguasai sepenuhnya dialek Kedah. Semacam lidah kelu sangat untuk menyebut ‘hang tau dak’. Tetapi masih boleh memahami dan mengajuk sepatah dua. Kedua, saya sedikit terkilan kerana tidak berpeluang untuk bercuti ke Pulau Langkawi meski itu adalah salah satu impian saya juga sejak menjejakkan kaki di UiTM Kedah. Akhir sekali, tahniah kepada semua kawan-kawan terutamanya DBS 6A UiTM Kedah (Jun 2006-Mei 2009) yang telah bergelar graduan di konvokesyen ke-71 UiTM pada 25 Oktober tahun lalu.


*Saya ingin meminta maaf kepada rakan-rakan yang wajahnya tersiar di akhbar, tetapi ada yang tidak berapa terang atau ada aksi yang tidak berkenan. Maaf juga kepada Faris kerana fambarnya tiada di dalam foto berkenaan kerana dialah yang menjadi jurugambar waktu itu. Itupun setelah diberitahu oleh Amir dengan kiriman SMSnya. Dan juga kepada rakan-rakan sekelas yang lain, yang gambarnya tidak ada mahupun tidak mengikuti perkhelahan di Bukit Hijau. Sebenarnya, gambar yang

saya emelkan banyak, nak dikatakan semua wajah . Tetapi, tersiarnya artikel ini di akhbar atas kehendak editor. Tulisan saya juga telah disunting, tidaklah sebagus yang tersiar. Tidak terlintas langsung untuk saya mengamalkan sikap pilih kasih. Pemilihan gambar-gambar itu mungkin daripada tulisan saya yang lebih terkesan di Bukit Hijau. Jadi, saya teramatlah berharap teman-teman semua memahami prosedur penerbitan. Usah khuatir, meski ada beberapa wajah tidak tersiar, tetapi saya tidak akan pernah lupa bahawa anda semua terutama DBS 6A, pernah hadir dalam hidup saya dan sudah pasti akan tersemat di dalam lipatan sejarah hidup saya. Minta maaf sekali lagi, kepada hati-hati yang berkecil atau hati-hati yang berbesar. Saya insan yang tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Walaupun ada wajah-wajah di atas tidak tersiar di akhbar,

tidak bermakna saya lupa. Anda tetap di ingatan.