Sunday 31 January 2010

Berakhirnya sebuah penantian

Isnin lepas, kira-kira jam sepuluh pagi, saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang wakil restoran The Chicken Rice Shop, Kelana Jaya. Dengar saja nama restoran TCRS, saya terus tersenyum dan sudah dapat menjangkakan apa yang ingin disampaikan. Jika ada panggilan, maksud jawapannya adalah positif.

Saya dikehendaki mendaftar sebagai pelatih di restoran TCRS Kelana Jaya pada 16 Februari dan akan menjalani latihan selama lima minggu di kedua-dua tempat, restoran dan di dalam kelas. Mungkin praktikal dan amali. Jika prestasi saya memberangsangkan sepanjang lima minggu tempoh latihan yang diberikan, berkemungkinan besar saya sudah boleh bekerja di restoran TCRS!
Saya mendengar dengan hati yang berbunga riang! Terasa bahu saya serta-merta ringan daripada segala masalah yang terpikul selama ini. Terima kasih kepada jobsgovernment Malaysia kerana membuat karnival kerjaya di kampung saya tidak lama dulu. Insya-Allah...saya hanya mampu merancang. Tetapi, saya tidak mahulah manaruh harapan yang terlalu tinggi. Dulu, saya pernah menaruh harapan seluas langit terbentang, setinggi gunung Kinabalu, sedalam lautan Hindi terhadap sebuah syarikat. Namun, setelah berbulan-bulan tunggu, tiada jawapan terima ataupun tidak. Hampa. Malas nak fikirkan perkara yang lalu. Kini saya kehadapan. Melihat apa yang ada disebalik sesuatu.
Sekarang, saya berada dalam pemilihan yang tidak ketahuan. Saya dikehendaki memilih satu daripada enam buah restoran yang berhampiran dengan tempat latihan iaitu di Kelana Jaya untuk praktikal selama lima minggu.

-TCRS Sunway
-TCRS Giant Kelana Jaya
-TCRS One Utama
-TCRS Tesco Mutiara Damansara
-TCRS The Mall
-TCRS Times Square

Kakak di Bandar Baru bangi, abang di Shah Alam. Yang mana satu ya dekat dengan mereka? Saya perlu membuat kajian sebelum hari pendaftaran, bertanya kepada kakak, abang dan juga rakan-rakan yang lebih arif berkenaan tempat tinggal dan kemudahan pengangkutan di kawasan berdekatan.

Saturday 23 January 2010

Satu per satu pergi maninggalkan...

Ini kisah kehidupan. Kisah persinggahan. Kisah yang sementara. Kisah suka juga kisah duka. Kehilangan pasti dirasai meski berlainan jenis makhluk ciptaan yang Esa.
Rentetan ini bermula seminggu yang lalu. Tanda awal telah didapati bahawa mungkin mereka tidak dapat hidup lama mamandangkan keadaannya yang begitu. Kata emak, biarlah...daripada dia menderita, eloklah dia pergi. Hati sayu memikirkan hal pemergian. Sewaktu saya menulis nota ini, jam sembilan lima belas minit pada dua puluh tiga Januari di waktu pagi yang redup dan nyaman, saya baharu saja meratapi pemergian yang terakhir. Lama saya berteleku menatap wajah yang dimamah penyakit itu. Terdetik di hati rasa insaf akan kehidupan ini. Giliran aku, bila pula akan di’jemput’? Oh Tuhan, betapa aku leka. Aku lalai dengan kehidupan. Kau insafkanlah aku dengan petunjukMu.

Sejak saya berhenti kerja dan duduk di rumah, sejak musim persekolah bermula, saya adalah penunggu rumah. Sering juga keseorangan. Waktu-waktu ini, saya mengambil tugas menggaulkan nasi putih bersama ikan rebus kegemarannya setiap hari tiga kali sehari, pagi tengah hari dan malam. Kata adik, mereka kecil lagi, tidak mampu untuk menelan Whiskas. Ya tak ya juga. Kata adik lagi, mereka juga macam manusia, tidak betah lama-lama duduk di rumah. Selalu keluar bermain-main. Jadi, kalau sudah tiba waktu makan mereka tiada, ketuk saja bawah mangkuk yang kita gaulkan makanan tu, nanti mereka datang.

Ini kisah kucing sebenarnya. Ibu kucing itu bukanlah milik kami sekeluarga. Kucing hijrah! Bertandang ke rumah suatu ketika dahulu. Saya gelarkan mereka bertiga sebagai ‘babycat’. Umur terakhir mereka kurang lebih dua bulan saja. Usia yang terlalu muda untuk pergi. Ada tiga warna yang berbeza. Kuning, hitam dan yang sekor lagi ada tiga tompok-tompok putih, kuning dan hitam (paling disukai kerana warnanya yang menarik). Agungnya ciptaan Tuhan, bukan? Ibunya warna kuning, lahirkan anak kembar tiga berlainan warna pulak tu.

Pemergian mereka tanpa dipinta. Mereka dijangkiti sejenis penyakit yang hanya dikenali saya sebagai ‘kurap’, namun tidak pula saya bawa ke klinik. Abah hanya sapukan gamat saja. Penyakit mereka bertambah teruk hari demi hari. Kami sekeluarga tidak pula berani menyentuhnya takut berjangkit. Kata emak, mereka kena ‘aids’. Saya tahu, itu gurauan. Saya ada mencadangkan kepada abah agar membawa mereka berjumpa doktor. Kata abah pula, tidak perlu. Anak-anak yang dilahirkan oleh ibu itu (merujuk kepada ibu kucing), memang ada penyakit. Sebenarnya, kelahiran yang ini merupakan yang kedua. Kelahiran yang pertama juga mati kesemuanya disebabkan penyakit yang sama. Pernah dibawa ke klinik juga, diberi suntikan, dibawa pulang ke rumah, akhirnya mati juga. Kalau begitu sudahnya, penat lelah saja yang kita dapat membesarkan anak-anak kucing ini, beri makan minum, akhirnya mati juga kerana penyakit. Itu kataku pula.

Pemergian anak yang pertama (kucing tiga warna) minggu lepas sangat tragis. Dari emak dan abah pergi ke kebun awal pagi, sehingga petang baru mati. Kesian. Terjelapuk di atas lantai. Semut-semut sedang bersedia di sekeliling untuk menjamah. Kucing yang kedua (warna hitam) mati semalam. Dan yang ketiga mati pagi tadi. Berakhirnya sebuah kehidupan. Pergi di usia muda. Barangkali, ibunya perlu dibawa ke klinik, beri suntikan. Jika tidak kelahiran seterusnya pasti akan terkena tempias penyakit berjangkit itu.

Akan saya bingkiskan sebuah puisi kisah ini. Agar saya tidak lupa mereka pernah singgah dalam lipatan sejarah hidup saya. (maaf, tiada foto yang sempat diabadikan)

MUKADIMAH SEBUAH PENGEMBARAAN

-->
Salam penuh mukadimah buat tatapan semua. Setelah sekian lama saya menjadi pemerhati pengkarya-pengkarya blog, akhirnya kini saya milikinya. Kenapa setelah sekian lama? Saya cuba menjadi pemerhati dan penilai dengan berjalan, melihat dan mentafsir mana-mana blog untuk mendapatkan idea sebelum menghasilkannya sendiri. Ingat, saya hanya memerhati untuk mendapatkan idea BUKAN mencuri idea. Dengan harapan, blog yang dimiliki nanti bukanlah sekadar blog yang hanya omong kosong, malahan mampu memberikan minat dan manfaat kepada pelawat yang bertandang. Menyedari diri hanya insan biasa, yang tidak punya apa selain hamba kepada yang Esa, saya cuba untuk berikan yang terbaik. Cuba untuk menjadi diri sendiri dengan setiap hasil tulisan. Tidak mahu menyerupai sesiapa, tidak juga mahu dimiripkan dengan sesiapa. Blog ini akan saya hidangkan dengan pelbagai jenis entri selain informasi harian, seni penulisan, serta isu-isu semasa. Tidak lebih daripada itu kerana saya tidak mahu entri yang tiada erti menjadi tatapan pelawat. Saya juga mengamalkan sikap keterbukaan untuk blog saya. Menerima apa-apa saja bentuk teguran, sindiran, kritikan, komen mahupun pendapat yang perlu saya perbaiki. Pendapat anda amat saya alu-alukan sekiranya terdapat sebarang kekhilafan atau kepentingan diri yang tidak terzahir. Emelkan saja apa yang berkenan ataupun tidak. Sekian pendahulu tulisan yang tidak seberapa. Akan saya kembali dengan entri yang berikutnya. Terima kasih...;)