Thursday 30 December 2010

Tahniah Malaysia!

Terharu.

Itulah bait yang terluah tatkala melihat wajah-wajah pemain Malaysia sebaik wisel penamat ditiup lewat kemenangan Malaysia menentang Idonesia malam tadi. Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 di bumi Indonesia walaupun tewas 1-2 (menang agregat 4-2). Pada pusingan pertama, Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad lalu. Malaysia berjaya meraih wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM309,510). Tahniah!

Kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin:

Ini merupakan satu pencapaian yang lebih manis bagi pasukan bola sepak negara selepas 14 tahun menunggu untuk muncul sebagai negara keempat merebut kejuaraan itu selepas Thailand, Singapura dan Vietnam. Tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini. Tentunya pelbagai perasaan melanda setiap rakyat Malaysia – megah, terharu dan paling utama, semua merasa bersyukur kerana kejayaan ini memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit.

Tahniah juga buat penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali yang membawa pulang trofi selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010. Sejak Piala Suzuki ni, nama beliau paling kerap disebut-sebut oleh peminat. Tidak hairanlah kalau bilangan ahli di fanpage facebook beliau meningkat mendadak ketika ini. Ramai betul teman-teman saya yang meng'like' page tersebut. Syabas!

Sepanjang lapan edisi kejohanan, hanya empat pasukan pernah bergelar juara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam dan terbaru Malaysia. Permulaan baru buat Malaysia. Saya tunggu untuk Piala Dunia pula, mudah-mudahan.

Err...jumaat ini cuti umum ya. Wah, bangga menjadi rakyat Malaysia. Malaysia boleh!





Thursday 23 December 2010

Sehangat Bara Cinta Canberra


Ini adalah karya ketiga daripada penulis Ilham Hamdani, yang telah menjadi milik saya kesemuanya, klik untuk membaca entri buku sebelumnya. Kalau dahulu, penulis pernah 'membawa' saya ke negara matahari terbit, Jepun dengan novel bertajuk Hidayah Cinta. Kini, sekali lagi penulis membawa saya 'melancong' ke negara Kanggaru, Australia.

Penulis membawa saya menyoroti suasana di Canberra, saya membayangkan seperti Putrajaya. Kerana Canberra adalah sebuah daerah pentadbiran yang tidak terlalu sibuk. Memang betul-betul dapat mengimaginasikan. Sungguh musim bunganya, musim sejuknya, musim panasnya...alangkah cantik dan indah!

Cukup perihal keindahan Canberra. Seperti biasa, penulis masih mengekalkan figura lelaki sebagai watak utama, Ikmal Hakimi. membaca novel ini ibarat membaca diari seorang lelaki. Ya, sebelum ini saya banyak membaca 'diari seorang perempuan'. Jadi, sesekali membaca luahan hati lelaki apa salahnya. 

Menceritakan Ikmal Hakimi yang mendatangi daerah gumtree, negeri selatan, Canberra kerana kekecewaan yang dialaminya. Ikmal cuba mencari cinta yang benar, yang sahih, cinta Tuhan. Kata Makcik marwa, "Carilah cinta Tuhan, nescaya kamu akan berjumpa dengan cinta hamba."

Novel ini juga sarat dengan mutiara kata dan motivasi yang begitu mendidik. Sesuai degan watak Ikmal Hakimi yang berputus asa dan membawa diri ke negara orang. Betapa tinggal di negara asing itu dugaannya sangat besar. Kalau tiada iman yang teguh mudah saja rapuh dengan cubaan persekitaran!

"Kekuatan dan kepandaian manusia bukannya terletak pada usaha manusia semata-mata, tetapi sejauh mana hubungannya dengan Rabb, Tuhan yang menciptanya."

Penulis banyak menyedarkan saya tentang 'khasiat' sesebuah buku. Katanya, jika membaca perlu berfikir dan selepas membaca amalkanlah serta beristiqamah dengan amalan itu. Gunakan ilmu yang terdapat di dalam buku sebagai rujukan dan melakukan perubahan positif. Jangan terlalu tergesa ketika membaca. Sebelum ini, saya membaca sebab cepat nak habis. Selepas habis baca, tutup buku, simpan semula. Dari situ kita tidak dapat input apa-apa daripada sesebuah buku. Itu sangat membazir. Untuk ulasan lebih lanjut, baca: Membaca itu perlu berfikir.

Di dalam novel ini, saya pelajari bahawa, perkara yang tidak pernah buat, jika istiqamah, lama-kelamaan boleh menjadi amalan rutin seperti watak Ikmal Hakimi yang membuat solat malam sebagai rutin selepas mendapat hidayah dan diketemukan dengan seorang sahabat, Izzudin Al-Qasam.

Membaca perihal riwayat Izzudin Al-Qasam sangat menyentuh kalbu. Sedari detik pertemuan pertamanya dengan Ikmal Hakimi, kita sudah dapat baca bahawa dia sehingga ke akhir hayatnya adalah seorang yang sangat baik dan mulia. Saya suka dengan bahagian bagaimana penulis menceritakan detik-detik menghadapi kematian, saat memandikan mayat, mengkafankan dan mengebumikan jenazah. Duhai...betapa insaf! Sungguh, novel ini benar-benar menyentuh hati seorang hamba. Belum sekali saya membaca novel yang punya peristiwa seperti itu.

Perebutan cinta untuk menakhluki hati Ikmal Hakimi oleh dua orang gadis manis, Nia Suraya dan Melissa Ai Ying Keong, sangat dramatik. Melissa cuba berjinak-jinak dengan Islam demi menambat hati Hakimi. Nia Suraya pula cuba memadam luka lama. Aduh! Betapa dramatik. Dan akhirnya, setelah selesai membaca, tahulah saya siapakah gadis bertudung biru yang menghias kulit depan novel ini.

Seperti novel sebelumnya, saya sangat berharap agar mana-mana penulis yang pernah menulis beberapa buah buku tidak mengulangi cerita, watak dan perwatakan yang sama seperti novelnya yang terdahulu. Saya rasa, ini terjadi lagi kepada penulis yang sama. Daripada Mekar Sakura di Mimbar Cinta hingga ke Hidayah Cinta dan kini Bara Cinta Canberra, ada lagi persamaannya. Bukan apa, saya jadi bosan!

Sebagai contoh, 
1. Watak Brother Qusai terdapat di dalam Mekar Sakura di Mimbar Cinta dan Hidaya Cinta.
2. Rasanya, nama Makcik Marwa juga diulang di dalam novel ini.
3. Isu Palestin-Israel memang tidak lekang dari ketiga-tiga buku ini. Selalu diungkit dan dibangkit.

Bukan apa, rasanya penulis perlu mencipta pembaharuan. Jangan asyik mengulang peristiwa yang sama biarpun mahu menyampaikan mesej Aman Palestin. Mungkin sesuatu yang baru bagi pembaca yang pertama kali membacanya, tetapi tidak bagi saya yang sudah menjadi followernya sejak tulisan pertamanya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada penulis kerana memberitahu saya tentang banyak perkara. Tentang buku yang perlu dimanfaatkan dan perlu diamalkan ilmunya serta istiqamah. Tentang kelebihan solat malam. Biarpun sekali seumur hidup sudah memadai, tetapi alangkah bagus jika diamalkan selalu. Tentang mengingati mati dan proses menguruskan jenazah, memandikan, mengkafankan, solat jenazah dan mengebumikan. Oh Tuhan, semoga insafnya bukan sekejap.

Akhir sekali, jika kamu mencari cinta hamba, mencari pasangan...carilah cinta tuhannya terlebih dahulu. Nescaya, setelah mendapat cinta tuhan kamu akan berjumpa dengan cinta hambaNya. Alangkah! Alangkah indah mencintai Tuhan.

Monday 20 December 2010

Kehilangan BULAT (2)

Sambungan daripada 'BULAT...Kehilangan yang tidk terucap 1'

Bagaimmana saya membawa Bulat pulang ke rumah dengan menunggang motorsikal beseorangan? Saya memasukkan Bulat ke dalam beg kemudian menutup zip dan meninggalkan sedikit ruang untuk dia bernafas. Sepanjang perjalanan dia mengiaw. Sehinggakan orang yang lalu bersebelahan saya memandang semacam.

Setibanya di rumah, saya langsung melepaskannya. Dia berlari-lari tak tentu arah sambil mengiaw dengan kuat. Kemudian saya memberinya makan nasi dengan ikan goreng. Dia makan dengan sangat lahap! Aduh, sungguh kasihan saya melihatnya. Saya fikir, kalau bukan saya yang menjumpainya pada hari itu, bagaimanalah agaknya nasib dia. Mujur tidak hujan, kalau tidak...

Kemudian, saya membelai-belainya. Cuba menjinakkannya supaya dia tidak takut dan mengiaw dengan kuat lagi. Tidak berapa lama kemudian dia tertidur di atas kerusi. Tidur dengan nyenyaknya. Emak saya sudah bising. Katanya, 'asal jumpa kucing saja, dibawa pulang.' Saya hanya diamkan saja. Kalau emak tidak mahu tak mengapa. Esok saya akan pulangkan dan cuba mencari tuannya. Apa tidaknya, beberapa hari sebelum itu, abang saya baru sahaja membawa pulang seekor kucing berwarna putih, yang diberikan nama Putih.

Keesokan harinya, sewaktu saya bersiap-siap untuk ke tempat kerja, seawal jam 6.30 pagi, saya lihat kucing itu keluar dari bilik air. Rupanya dia membuang air besar! Saya sangat teruja kerana dia pandai buang air di dalam bilik air. Risau juga pada mulanya.

Pagi itu, saya sedikit terlewat kerana menguruskan hal si Bulat. Emak menyuruh saya pulangkan kembali kucing itu ke tempat asal, tetapi saya tidak mahu. Nanti saya cari dahulu tuannya, kalau sudah jumpa baru saya bawa. Lantas, saya mengurungnya ke dalam sangkar. Dia menjerit-jerit, mengiaw seperti semalam. Dengan kuat dan nyaring. Saya berlari, tinggalkan dia di belakang ruamah dan segera ke tempat kerja. Dalam hati, sabarlah...tunggu aku balik petang nanti.

Tiba di tempat kerja, hati saya dibuai sayu dan kasihan. apalah nasib si kucing itu agaknya. Saya menghantar SMS kepada emak, bertanyakan bagaimana. Emak menjawab, 'Mak dah lepaskan dia. Kasihan, kau kurung dia lemudian tinggalkan tanpa air atau makanan. Sekarang, dia ada ni tolong mak sidai kain. Bagus dia, tolong mak.'

Saya punyalah risau, rupanya dia baik-baik saja di rumah. Nampaknya, emak sudah boleh menerima kehadiran Bulat. Jadi tidak payah pulangkan. Saya sangat gembira.

Saya dan adik-adik sangat seronok melihat keletah Bulat. Kami memberikan bermacam-macam cadangan untuk menamakan kucing itu.Pada mulanya Tupai sebab hidung dan telinganya hitam. Kemudian Badut sebab hidungnya ada tanda. Kemudian lagi, Kutip sebab kucing itu dikutip dari dalam longkang. Dan akhir sekali saya yang memberikan namanya sebagai Bulat kerana dia suka tidur dalam keadaan bulat dan matanya terbuka sangat luas dan bulat tidak seperti kucing lain. Kekal dengan nama Bulat sehingga ke akhir hayatnya.

Dia suka tidur bulat.
Dia suka tidur di hujung kaki saya waktu malam.
Bulat sangat comel
Bulat sangat cantik

Bulat sangat manja

Dia suka duduk seperti katak. Hehe.
Bulat suka bermain dan sangat lincah. Juga sangat comel dengan warnanya yang unik. Suka makan whiskas dan tidak suka nasi dan ikan. Whiskas yang berwarna hijau-merah. Kalau merah-oren dia tidak akan makan sehinggalah saya beli hijau-merah, baru dia makan. Suka memanjat pokok. Suka duduk di atas siling rumah dan berlari-lari di atasnya, sangat bising. Seperti rumah mahu runtuh.






Dia menjadi kesayangan saya. Saya akan mengingatinya selagi termampu. Pemergian Bulat mengingatkan saya tentang kematian. Yang hidup pasti akan mati. Juga mengingatkan saya supaya bersiap menghadapi sebuah kematian. Kematian insan tersayang pula bagaimana agaknya jika kematian kucing kesayangan sudah seperti hilang separuh jiwa? Ini memberikan pengajaran buat saya untuk siap menghadapi apa saja kehilangan. Mungkin ahli keluarga, sahabat baik atau sesiapa saja.

Monday 13 December 2010

Membaca itu perlu berfikir

Saya ingin bertanyakan soalan ini kepada anda, samaada anda penggemar buku ataupun tidak. Perlukah kita menghabiskan suatu pembacaan itu sesegera mungkin?

Saya cukup hairan, kenapa sesetengah pembaca gemar menghabiskan bacaannya dengan cepat. Boleh jadi dua hari sudah boleh khatam. Bagaimanakah cara anda membaca? Membaca dengan mata kepala atau membaca dengan mata hati?

Saya kira, bukankah membaca sambil berfikir dan menilai kebenarannya adalah lebih bagus faedahnya. Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah golongan pembaca. Saya pelik dan tidak faham dengan kaedah pembacaan mereka.

Mereka begitu bangga bercerita, kononnya dalam satu bulan mereka boleh membaca sekian-sekian banyak buku, majalah atau bahan bacaan lain. Mungkin juga merasakan dirinya hebat, boleh membaca dengan pantas. Ingat ya, seseorang yang berjaya menghabiskan bacaannya dengan sesegera yang mungkin belum tentu sudah dapat menguasai ilmu yang dibaca sedalam yang mungkin!

Alangkah bagusnya jika mereka menghitung sudah berapa banyak perubahan yang telah dilakukan bertitik tolak dari pembacaannya. Kiranya, berapa deras pembacaan kita seiring dengan seberapa pantas ilmu dari buku tersebut diperolehi. Bukan sekadar, "Semalam aku tidak tidur dan tidak makan kerana mahu membaca secepat mungkin"

Seorang hukamak pernah menyebut begini,

"Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan prubahannya."

Tidak sedarkah anda, sebaik sahaja menutup sesuatu bahan ilmu dan sesegera itu otak menjadi kosong semula. Tidak meninggalkan sebarang kesan pun daripada apa yang telah dibaca. Sayang bukan?

Saya ingin menceritakan fenomena novel cinta dalam kalangan remaja. Sudah tentunya selepas menutup buku, mereka hanya peroleh khayalan semata-mata. Betapa indahnya bercinta dengan seorang pemandu kapal terbang. Betapa indahnya jika bercinta dengan seorang jejaka yang punya BMW 3 Series. Betapa indahnya beristerikan seorang yang cantik, berambut ikal, pipi gebu bak pauh dilayang. Ah, itu semua hanyalah keindahan sementara.

Tetapi inilah yang selalunya terjadi. Usai membaca novel-novel contoh seperti tadi, pembaca tidak kemana. Pemikiran kekal di takuk lama. Tidak berkembang dan otang pun tidak boleh berfikir secara meluas.

Sesungguhnya pertambahan usia itu mengajar kita erti kedewasaan. Kini, saya lebih bijak memilih buku. Sebelum membeli, menilai terlebih dahulu isi kandungan serta penulisnya sekali. Jadi, jika ingin membeli buku, carilah buku yang betul-betul bermanfaat dan boleh memberikan sumbangan dalam kehidupan seharian.

Sambil membaca, berfikirlah dan mengkajilah. Sesudah membaca, amalkannya dan lakukan perubahan yang positif.

Wednesday 8 December 2010

Kehilangan BULAT (1)

Anda pernah kehilangan? Kehilangan insan tersayang atau apapun yang disayangi? Biar apapun bentuk kehilangan itu, yang pastinya semua orang pasti akan merasainya meski sekali seumur hidup. Samada kehilangan ibu bapa, adik-beradik, sajhbat handai, mahupun kehilangan sesuatu yang bukan bersifat insan.

Ya. Saya baru saja mengalami peristiwa kehilangan. Saya bukan kehilangan ahli keluarga atau sahabat handai. Tetapi saya telah kehilangan seekor kucing yang amat dicintai. Dia adalah seekor kucing. Namanya Bulat. Saya telah kehilangan Bulat pada hari Isnin, 6 Disember 2010.

Menceritakan detik pertemuan dengan Bulat, sangat dramatik. Ketika saya bekerja sebagai tukang cuci beberapa bulan yang lalu, saya telah menemukan Bulat di dalam longkang yang dalam. Saya ditugaskan untuk menyapu di tempat lain bersama seorang makcik, bukan di tempat biasa. Ketika itu saya sedang menyapu, tiba-tiba saya terdengar suatu suara sepertinya suara seekor kucing yang menjerit-jerit. Tetapi sedikit berlainan seperti kebiasaan kucing-kucing lain. Lama saya membiarkan, sebab tidak ketahuan dari mana datangnya suara tersebut.

Ketika sedang berehat-rehat menghilangkan lelah, anggaran 30 minit selepas saya mendengar suara tadi, telinga saya digamit kembali dengan suara tersebut. Hati saya melonjak-lonjak ingin melihat dan mencari dari manakah datangnya suara tersebut. Saya dengan makcik yang juga tukang sapu, saling berpandangan hairan.

"Cik, kasihan bunyi suara tu. Kucingkah?"
"Entahlah. Agaknya. Dah lama acik dengar bunyi tu, sudah dua, tiga hari."

Hati saya menjadi tidak enak.

"Cik, saya pergi tengok sekejap"

Saya mecari dari mana datangnya suara kasihan tersebut. Tidak susah rupanya untuk mencari. Betapa terkejutnya saya apabia melihat ada seekor anak kucing di dalam longkang! Sungguh terkejut. Kerana longkang tersebut bukannya kecil dan redah. Tetapi sangat besar dan dalam. Saya kira, ada dua meter dalamnya kerana apabila saya berdiri di dalam longkang, parasnya lebih kurang tinggi saya. Dan jarak longkang dari tempat saya berehat tadi kira-kira 30 meter saja. Alahai...sungguh kasihan. Mujur tidak ada air, longkang kering. Cuma yang ada lumut yang sedikit licin.

Lantas, saya memanggil makcik tadi.
"Cik, sudah jumpa! Mari tolong saya. Saya mahu terjun. Nanti, acik bantu saya naik semula ya?"
"Ya, baiklah. Hati-hati!"

Saya lompat dengan penuh hati-hati. Kerana lantai longkang berlumut dan sangat licin. Kucing tersebut berlari, cuba menjauhi tatkala melihat saya turun dan cuba mendekatinya. Saya mengerjarnya di dalam longkang. Kata saya, "Jangan lari. Aku mahu menyelamatkan kau." Dia menoleh, langsung berhenti berlari. Seolah-olah dapat memahami. Saya menangkapnya ke dalam dakapan. 

"Cik, comel!"

Saya melonjak kegembiraan di dalam longkang. Tanpa berlengah, saya menyerahkan kucing tersebut kepada makcik tadi sebelum dia membantu saya untuk naik semula ke atas. Kucing tersebut cuba lari. Sepertinya tidak mahu didekati. Saya kira, kucing tersebut tentu sudah lama dia dalam longkang. Kerana suaranya sedikit berlainan ketika mengiaw. Suaranya agak serak. Mungkin sudah lama meminta tolong, tetapi tiada sesiapa yang sudi membantu. Mungkin juga kerana dia terjatuh ke dalam longkang dan tidak mudah kelihatan oleh orang ramai. 

Ya, seperti yang diberitahu oleh makcik tukang sapu dengan saya, sudah dua, tiga hari dia mendengar suara tersebut tetapi tidak pula mencari. Mungkin, hari itu adalah rezeki saya berjumpa dengan anak kucing yang sungguh comel. Kalau saya tidak ditukarkan tempat menyapu petang itu, entah siapalah yang akan membantu menyelamatkan kucing tersebut. Makcik tadipun, sepertinya tidak mempedulikan kerana dia setiap hari menyapu di kawasan tersebut dan mengakui terdengar bunyi suara ganjil, cuma tidak berusaha mencari.

Gambar ini saya ambil hari pertama saya bawa pulang ke rumah. Selepas diberi makan, dia tertidur nyenyak, keletihan dan sungguh kasihan.
Ternyata, kucing tersebut seperti fobia. Takut kalau ada manusia mendekati. Saya membelainya, memberikan sedikit kasih untuknya. Akhirnya, dia terpujuk. Saya mahu ambil dia. Mahu membela dia kerana dia sangat comel dan unik warnanya. Bagaimana saya mahu membawanya pulang ke rumah dengan menunggang motorsikal berseorangan? Nantikan 'BULAT...Kehilangan Yang Tidak Terucap siri 2'.

Bukan apa, bimbang jika panjang sangat kalian tidak terbaca. Tunggu ya, saya akan kembali untuk menceritakan lebih lanjut detik-detik manis dan pahit bersama BULAT.

Friday 3 December 2010

Kek Batik

Ramai teman-teman saya memberitahu kek batik saya sedap. Benarkah? Ada yang meminta resepi, ada juga yang membuat tempahan selepas sekali mencuba. Alhamdulillah. Segalanya bermula begini.

Pertama kali mencuba buat kek batik, saya menemui kegagalan. Senang kata, tak menjadi. Keras. Baling ke dinding pun dindin tu boleh pecah. Agaknya terlebih coklat.

Kemudian, saya mencuba lagi. Kali ini, kek bati saya menjadi lembik. Agaknya terlebih air.

Seterusnya, saya mencuba lagi. Kalai ini, kek batik saya separa jadi. Rupa sudah ada, tetapi rasa kurang. Orang kata, tak berapa sedap.

Saya berfikir, bagaimana seseorang itu boleh membuat kek dengan sedap? Terutamanya, rakan saya yang pandai membuat kek. Saya menjadi cemburu. Minta bantuan daripada dia? Huh! Sudah terlebih bantu agaknya. Dia pun pelik, bagaimana kek batik saya tidak menjadi. Padahal, kek batik merupakan sesuatu yang mudah untuk dibuat.

Saya cuba lai, lagi dan lagi. Sehingga pada suatu hari, saya buat kek batik selepas sekian lama tidak mencuba. Saya membuat kek batk tersebut bersempena meraikan perpisahan saya. Saya buat kek untuk meraikan perpisahan sendiri. Saya berhenti kerja. Mungkin, kita sudah ada niat yang baik, nak menjamu makan kepada rakan-rakan. Jadi kek batik tersebut menjadi. Sangat cantik dan sedap. Justeru, saya menjadi pujian daripada rakan-rakan. Ada yang terus membuat tempahan daripada saya! Terima kasih Tuhan, kerana memberikan saya kesabaran dalam mencuba.




Di sini, saya ingin berkongsi resepi kek batik saya.

BAHAN-BAHAN:
- 1 biji telur
- 1/2 tin susu cair. (kalau menggunakan susu pekat, tambah sedikit air ke dalam adunan nanti)
-1 cawan milo (milo kalau nak letak lebih pun tidak mengapa)
-1/2 cawan serbuk koko
- Biskut meri 1 bungkus, dipatah-patahkan
- 1 papan coklat masakan + lemak sayur sedikit
- 1/2 buku Buttercup

CARA-CARA MEMBUAT:
- Pukul telur sehingga kembang.
- Bancur susu pekat dengan milo dan serbuk koko sehingga rata.
- Masukkan telur ke dalam bancuhan milo, serbuk koko dan susu tadi. Gaul sehingga sebati.
- Buttercup pula dipanaskan dalam kuali dengan api yang kecil. Kacau sehingga mencair.
- Kemudian, masukkan bancuhan telur, milo, serbuk koko dan susu ke dalam kuali yang berisi buttercup.
- Kacau sehingga rata dan biarkan bancuhan menjadi pekat.
- Selepas bancuhan menjadi pekat, angkat bancuhan dari atas dapur dan tuangkan ke dalam bekas yang berisi biskut meri.
- Gaulkan sehingga rata dan tekan biar padat. Sebaiknya menggunakan bekas loyang.
- Selepas dipadat-padatkan ke dalam loyang.
- Untuk lebih cantik dan sedap. Ratakan permukaan kek dengan coklat masakan.
- Coklat masakan tadi, cairkan di atas dapur.
- Kacau sehingga cair, kemudian tambah lemak sayur sedikit untuk nampak lebih cair dan berkilat.
- Setelah coklat cair, sapukan rata di atas kek batik.
- Setelah semuanya selesai, simpan kek ke dalam peti ais untuk 3 ke 4 jam.

Sekian, resepi kek batik daripada saya. Selamat mencuba!

Sunday 28 November 2010

Aidiladha dan hospital...

 Lama juga tidak kemaskini blog. Senang kata, malas dan tiada idea yang perlu diisi.

Salam Aidiladha diucapkan kepada tetamu blog. Maaf, sedikit terlambat. Apapun, Aidiladha atau Hari Raya Haji tahun ni begitu berbeza daripada tahun sebelum-sebelumnya. Sesuai dengan 'korban', saya telah melaksanakan sebuah pengorbanan sebagai seorang anak terhadap ibunya. 

Seperti yang tertulis di status Facebook sejak seminggu yang lalu, emak saya telah dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah (HKP) pada 11 November yang lalu akibat terdapat darah beku dalam paru-paru yang menyebabkan emak saya sesak nafas. Dari hari pertama saya melawatnya di HKP sehingga hari dia dibenarkan keluar hospital, saya berasa simpati. Serta-merta teringat betapa pentingnya waktu sihatmu sebelum sakitmu.

Selama 13 hari emak di HKP. Hari-hari itu meliputi Hari Raya Korban  (17 Nov) dan haji lahir emak ke-54 tahun (18 Nov). Di sinilah erti pengorbanan sebenar bagi saya. Sepanjang ketiadaan emak, saya dan adik-beradik perlu berdikari. Sebelum ini emak yang memasak, mengemas rumah, menyapu sampah, basuh baju disebabkan saya bekerja. Tetapi, semasa ketiadaan emak semua perkara itu dapat diselesaikan biarpun sedikit kelam-kabut kerana mengejarkan waktu bekerja.

Dari sini, saya terpaksa belajar memasak. Ini perkara baru bagi saya, sebab saya bukan tidak tahu, cuma tidak pandai memasak. Mengemas rumah dan membasuh semua itu tiada masalah. Atas permintaan emak, saya mencuba nasib dengan memasak. Paling membanggakan, masakan pertama saya, 'Asam Pedas Ikan Duri' menjadi! Itupun selepas beberapa kali menelefon emak bertanyakan tentang cara memasaknya, termasuk bertanyakan kepada beberapa orang rakan dan juga resepi daripada internet. Aduhai...nak masak asam pedas macam nak buat Nasi Briani pula.

Semasa hari ulang tahun kelahiran emak, kami adik-beradik (semua ada sebab cuti Aidiladha), menyambutnya di wad 6, HKP. Pengalaman baharu. Ada senyum terukir di wajah emak meski sedikit. Dapatlah mengubati kesepian di HKP seketika. Emak dibenarkan keluar dari hospital pada hari Selasa, 23 Nov. Tetapi tidak boleh buat kerja berat. Sayalah yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan aktiviti harian emak sama seperti hari-hari emak di hospital. Semoga emak cepat sembuh. Sekian.



Tuesday 2 November 2010

Membaca sebelum menulis


Azam saya pada awal tahun ini salah satunya ialah ingin menghantar karya saya di beberapa media cetak terutamanya Tunas Cipta. Napaknya sudah masuk bulan kesebelas tahun ini, hasrat itu masih belum tertunai, tidak mungkin dalam masa dua bulan ini. Perkara ini terjadi disebabkan sikap diri saya sendiri. Dalam masa hampir satu tahun ini, saya belajar banyak perkara. Saya menuntut banyak ilmu berkaitan penulisan melalui pembacaan.

Menulis itu senang tetapi ia bukan sesuatu kerja yang remeh. Bagi saya menulis itu rumit. memerlukan pembacaan dan pemahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Hal ini membuatkan saya lebih berhati-hati untuk menghasilkan karya. Semua orang inginkan yang terbaik. Sikap saya pula mahu tunjukkan yang terbaik hinggakan prosesnya menjadi lambat. Kerana mahukan karya yang terbaik untuk dibaca mahupun untuk diladeni, saya menjadi buntu. Ya, buntu. Sehingga akhirnya saya tidak termampu untuk mencapai sasaran asal.

Sifat kesempurnaan itu membuatkan saya menjadi seorang yang terlalu rumit. Orang kata, suka merumitkan keadaan padahal benda itu senang dan mudah. Bagi kawan-kawan yang juga mempunyai minat yang sama, mungkin anda juga ada sikap atau tabiat menulis anda sendiri. Bagi diri saya, saya memahaminya. Dan kerana itu karya saya tertangguh agak lama.

Jadi, saya menanganinya dengan banyakan membaca. Saya kini sedang belajar membaca karya sastera terutamanya sastera orang lama. Kawan-kawan sila berikan sokongan yang tinggi kepada saya, kerana 'sastera orang lama' bukan mudah untuk dihadam.

Sekian.

Thursday 21 October 2010

Minat baharu


Sejak kebelakangan ini, minat terhadap bidang penulisan kian mundur. Hari demi hari hasil penulisan saya mulai menunjukkan tanda-tanda berantakan. Ayat merapu. Bahasa tunggang-terbalik. Dan saya sudah dapat lihat masa depan saya terhadap kreativiti bidang penulisan seperti berkabus. Oh, maaf ya untuk katakan ini. Apapun, saya akan cuba untuk menulis di lain hari jika diizinkan.

Kini, saya sudah ada minat baharu! Saya suka mencipta atau merekacipta. Terutamanya, menjahit manik. Saya ingin mempelbagaikan seni jahitan manik yang saya ada untuk diadukkan menjadi sesuatu yang lain. Contohnya, membuat tote bag, pouch, gift card dan lain-lain lagi. Saya ketemu minat ini dan terus jatuh cinta dengannya. Kini saya sedang mencari idea yang bagus untuk menjadikan minat ini sebagai suatu yang pasti.  Selain itu, saya  juga membuat beberapa rujukan dengan blogger-blogger yang mempunyai minat yang sama. seperti Emila Yusof dan Maya Puri Creations. Jangan lupa nantikan kemunculan produk sulung daripada saya ya. Sokongan anda semua amatlah diharapkan. Sekian terima kasih. 
Sumber: Maya Puri Creations

Sumber: Emila Yusof


Thursday 14 October 2010

Anak angkat

Sabtu lalu, 9 Oktober 2010, saya memberikan dua ekor anak kucing kepada seorang rakan. Pagi sebelum serahkan kucing-kucing tu, sempat la bermanja-manja dengan diorang semua. Saya berat hati nak melepaskan, tapi kerana desakan daripada emak, terpaksa juga diturutkan. Bukan tak suka kucing, tetapi di rumah dah ada banyak kucing. Sementara masih kecil baik diserahkan pada orang. Apapun, saya tetap akan ingat mereka berdua. Gambar-gambar ini saya titipkan sebagai kenangan.

Yang di atas sekali dan yang ini, sudah diadopted kepada kawan.
Ketika sedang tidur. Mereka selalu saja bersama.
Yang hitam itu ibunya, Namanya Tam. Comel kan? Ibu hitam, anak putih.
Yang ini tidak diadopt sebab dia comel. Bulunya juga sedikit kembang daripada yang lain.
Yang ini hidungnya tak hitam seperti di atas.
Gambar mereka setelah dimasukan ke dalam sangkar sebelum dibawa pergi oleh kawan saya. Uwaaa...sedih.

Friday 1 October 2010

Ucapan Salam Aidilfitri 2010

Meskipun bulan Syawal sudahpun hampir ke penghujung beberapa hari lagi, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk membuat ucapan biarpun sedikit lewat.

Aidilfitri kali ini sedikit berbeza dari tahun sebelumnya. Kerana, tahun ini jumlah ahli dalam keluarga menunjukkan pertambahan. Emak dan abah menerima seorang menantu. Selamat datang buat kakak ipar, Noormasidayu. Biarpun berbeza dari segi bilangan ahli, namun kemeriahannya tetap sama. Lemang, ketupat, rendang, mercun dan bunga api juga tetap ada.

Aidilfitri ini juga, saya membeli sebuah motor baharu. Selepas ini, senang la kerja saya, tidak perlu menyusahkan orang lain untuk menghantar dan menjemput.

Buat, tatapan teman-teman blogger, Salam Aidilfitri saya ucapkan. Segala kekurangan di dalam entri blog, harap dimaafi ya? Tahun ini, tiada open house. Tetapi, kalau nak kira rumah terbuka tu, jangan tunggu raya saja, bila-bilapun boleh datang.

Friday 3 September 2010

Rezeki bulan Ramadhan


Sebelum kedatangan bulan Ramadhan, beberapa orang rakan-rakan dan jiran-jiran terdekat telah mula mrisik-risik samaada saya mahu mengambil tempahan menjahit atau tidak. Kalau dulu sekadar suka-suka, tetapi sekarang menjahit sebagai sebahagian daripada kerjaya.

Memandangkan tahun ini pertama kali saya menyambutnya dalam suasana bekerja, saya menetapkan beberapa target. Nak kumpul duit dan beri duit raya! Sebelum Ramadhan lagi tugas saya sudah diasak dengan tempahan menjahit baju yang banyak. Jadi, inilah masanya untuk kumpul duit.

Saya adalah seorang yang baru dalam bidang ini dan masih mentah, tetapi ramai juga sebenarnya meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menjahit baju. Mungkin juga mereka membuat tempahan kerana sudah kesuntukan masa, di mana rata-rata tukang jahit profesional sudah menutup tempahan sebelum Ramadhan. Jadi sasaran terbaik adalah saya meskipun saya ada menetapkan beberapa syarat.

Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya masih setia dan bersabar menjahit. Biarpun terpaksa mebahagikan masa yang sangat padat dengan jadual yang pelbagai. Dan Aidilfitri kali ini juga merupakan sesuatu yang agak bernilai sebab saya sudah boleh beri duit raya kepada adik-adik! Rezeki bulan puasa saya dengan menjahit, syukur sangat kepada Tuhan kerana memberikan saya keberanian dan kelebihan bakat menjahit.

Thursday 26 August 2010

Tarawih + kekenyangan + mengantuk= ?


Apabila Ramadhan menjelma, umat Islam seluruh dunia akan menunaikan ibadah puasa. Selain berpuasa, satu lagi amalan yang dituntut adalah solat sunat terawih. Mari saya terangkan, apa itu solat tarawih sebelum bercerita lebih lanjut.


Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga cukup 8 ataupun dua puluh rakaat.


Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.


Sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan:

"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."


Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.

Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:


"Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan."

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga. Ingat ya, sekadar dapat memberi tenaga bukan mengikut nafsu. Jadi, kesimpulannya perkara inilah yang boleh menyebabkan seseorang itu merasa kekenyangan dan mengantuk ketika menunaikan solat sunat terawih. Berbukalah dengan mengikut kadar kemampuan. Lebih afdal lagi, berbuka mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu makan tiga biji kurma.

Selepas ini, jangan la mengantuk ketika terawih lagi ya?

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Tarawih